Lelaki tak berpenyakit antara korban terbaharu Covid-19

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 55 tahun dari Sarawak menjadi korban terbaharu Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, lelaki yang meninggal dunia di Hospital Sibu itu tidak mempunyai apa-apa rekod penyakit.

“Kes 298,030 merupakan seorang lelaki berusai 55 tahun dan merupakan kes kematian 1,225 hari ini,” demikian menurut kenyataan medianya hari ini.

Bagaimanapun, satu lagi kes kematian direkodkan di Hospital Sungai Buloh melibatkan lelaki dari ibu negara.

Mangsa yang berusia 71 tahun itu mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, jantung, kencing manis dan buah pinggang kronik.

Kedua-dua mangsa adalah warganegara Malaysia.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya mengesan 12 lagi kluster baharu hari ini melibatkan 10 berkait tempat kerja dan dua lagi pusat tahanan.

Antara kluster itu adalah Kluster Sungai Berumbung di Kluang dengan 13 kes, Kluster Lorong Usaha Utama di Kulai dengan tujuh kes, Kluster Jalan Dahlia 22 dengan 13 kes, Kluster Jalan Industri Sofa (55 kes), Kluster Jalan Besar Kepong (17 kes), Kluster Jalan Daun (8 kes), Kluster Lorong Nibong (21 kes), Kluster Persiaran Hemisfera (13 kes), Kluster Tapak Bina Persiaran Cybersouth (10 kes) dan Kluster Bandar Baru di Petaling dengan 50 kes.

Dua lagi kluster bagi pusat tahanan adalah Kluster Depoh Tahanan Imigresen Juru terbanyak dengan 167 kes positif Covid-19.

“Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 9 Mac 2021 hasil saringan bersasar tahanan-tahanan di Depot Tahanan Imigresen Juru, Simpang Ampat, Seberang Perai Tengah.

“Sehingga 19 Mac sejumlah 393 individu telah disaring,” kata Dr. Noor Hisham.

Kluster terakhir adalah Kluster Depoh Tahanan Imigresen Jalan Duta dengan 18 kes.

Sehingga hari ini, sejumlah 1,288 kluster telah dikesan di negara ini dengan 861 daripadanya telah tamat.

“Sebanyak 13 kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Jalan Indah Utama, Kluster Perindustrian Fasa Dua, Kluster Kampung Teluk, Kluster Jalan Besar Pontian, Kluster Subang Delima, Kluster Batu 20, Kluster Santong Paka, Kluster Batu Tiga Setengah, Kluster Industri Puchong, Kluster Jalan Galah, Kluster Tapak Bina Lebuh, Kluster Jalan Kota Murni, dan Kluster Tapak Bina Jalan Tandok,” katanya.

Jumlah kluster aktif pula adalah 427 kluster. – MalaysiaGazette