Letak jawatan Pengerusi MARA? Asyraf Wajdi hanya dengar arahan Menteri KKDW, bukan AMK

Letak jawatan Pengerusi MARA? Asyraf Wajdi hanya dengar arahan Menteri KKDW, bukan AMK

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada desakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) atau tuntutan PKR supaya jawatan nombor satu agensi Bumiputera itu dilepaskan.

Sebaliknya, Setiausaha Agung UMNO itu berkata, kedudukannya sebagai Pengerusi MARA adalah berdasarkan pelantikan serta mandat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, beliau menegaskan sebarang keputusan mengenai kedudukannya hanya tertakluk kepada arahan pucuk pimpinan kementerian berkenaan dan bukan atas desakan mana-mana pihak luar atau sayap pemuda parti sekutu.

“Saya ini dilantik oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW, saya hanya menurut saja. Kalau Menteri KKDW minta untuk saya berhenti, saya berhenti. Tapi bukan atas desakan AMK atau parti Keadilan.
“Kerana pertama sekali, saya ini menjaga amanah parti, amanah parti untuk menjaga MARA yang lahir daripada rahim UMNO itu sendiri,” katanya, hari ini.

Letak jawatan Pengerusi MARA? Asyraf Wajdi hanya dengar arahan Menteri KKDW, bukan AMK

Terdahulu, kepimpinan AMK mendesak Asyraf Wajdi melepaskan jawatan berkenaan atas alasan integriti susulan dakwaan beliau terpalit dengan isu Lembaga Tabung Haji (TH) ketika memegang portfolio Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum ini.

Desakan itu turut memuncak apabila perwakilan dalam Kongres Nasional PKR sebelum ini secara terbuka menuntut jawatan Pengerusi MARA diserahkan kepada pemimpin parti berkenaan, dengan alasan perlunya nafas baharu bagi memacu reformasi institusi teras Melayu itu.

Kredit Foto; NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Mengulas peranannya sepanjang menerajui MARA, Asyraf Wajdi berkata komitmennya adalah untuk memulihkan dan memperkemas tadbir urus supaya institusi berkenaan terus kukuh serta tidak dicemari sebarang persepsi negatif.

“Ini adalah institusi orang Melayu dan Bumiputera dan sepanjang tiga tahun ini saya meletakkan asas penting untuk memastikan agenda pendidikan, usahawan orang Melayu ini terpelihara dan dapat kita perkasakan soal tadbir urus institusi yang kita perkemaskan.
“Supaya saya bukan lama pun di MARA ini, maknanya yang paling penting institusi ini akan tetap dipertahankan. Jangan ada usaha-usaha untuk merobek reputasinya,” tegas beliau lagi.

Sumber: Astro Awani (Firdaus Azil)

Scroll to Top