hafidzul@hmetro.com.my
Subang Jaya: Seramai 80 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang terjejas akibat insiden kebakaran paip gas di Putra Heights di sini, pada 1 April lalu menerima bantuan segera termasuk wang tunai RM2,000, selain diberikan fleksibiliti mengikuti kelas secara dalam talian supaya tidak tercicir dalam pengajian.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Azlinda Azman berkata, bantuan disalurkan kepada penuntut dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sunway University, Management and Science University (MSU) dan Nottingham University.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengarahkan semua IPT awam dan swasta untuk melaksanakan kelas secara dalam talian bagi penuntut yang terjejas di kawasan terbabit.
“Kementerian Pendidikan juga berusaha mendapatkan bantuan tambahan bagi pelajar yang kehilangan atau mengalami kerosakan pada peralatan elektronik seperti komputer riba, dengan kerjasama Kementerian Digita,” katanya ketika ditemui di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights, di sini, hari ini.
Jumlah keseluruhan peruntukan setakat ini dianggarkan mencecah lebih RM100,000 dan dijangka meningkat bergantung kepada bilangan penunutu yang dikenal pasti.
Selain bantuan itu, Azlinda berkata, sokongan psikososial turut diberikan dengan menggerakkan kaunselor dan pakar perubatan di setiap universiti.
“Seramai 45 pelajar IPT turut terbabit sebagai sukarelawan setiap hari sejak hari kedua kejadian berlaku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

