Alor Setar: Kesungguhan ketiga-tiga penjaga gol Kedah perlu dibuktikan sebelum dipilih menjadi penjaga gol utama skuad Hijau Kuning dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Jurulatih penjaga gol Lang Merah, Khairul Azman Mohamed berkata bahawa peluang sama banyak akan diberikan kepada Ifwat Akmal Chek Kassim, Shahril Sa’ari dan Ilham Amirullah Razali bagi membuktikan kemampuan mereka untuk layak menjadi pilihan nombor satu.
“Mengenai tahap tiga penjaga gol ini, masih terlalu awal untuk meletakkan kedudukan mereka dan kita akan usahakan apa yang patut untuk kita pilih ke pilihan utama. Kalau kita cakap sekarang, ia masih terlalu awal dan belum tahu siapa nombor satu”, katanya.
“Beri mereka peluang dulu sebab buat masa ini, semua (peluang) masih terbuka dan bila mereka sudah tunjuk kerjasama dengan pasukan nanti, barulah kita akan bincang dengan ketua jurulatih mengenai kedudukan mereka”, katanya.
Menurutnya juga, tiada unsur pilih kasih dalam pembentukan ketiga-tiga penjaga gol tersebut dan berharap mereka akan terus memberi kerjasama dalam menampilkan aksi yang terbaik.
Khairul Azman yang sebelum ini pernah menjadi jurulatih penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) turut melahirkan perasaan teruja dan bangga selepas menerima peluang menyertai skuad Kedah.
“Pertamanya, saya bersyukur dan berterima kasih kepada pengurusan KDA FC kerana sudi memberikan peluang untuk saya bersama skuad Kedah untuk musim depan. Perkara wajib kini adalah saya mahu mencurahkan segala pengalaman yang ada pada diri saya ke dalam pasukan Kedah dalam membentuk skuad yang baharu serba mantap”, katanya.
“Jika JDT dapat apa yang saya curahkan dahulu, di sini (Kedah) pun saya akan pastikan dapat juga”, katanya lagi.
Sumber: Media Mamak
Akmal Hakim
Sports Desk



