Lima setinggan jadi pusat barang lusuh terbakar – Utusan Digital

KUALA SELANGOR: Suasana di Jalan Bagan Pasir di Tanjong Karang di sini, gempar apabila deretan lima rumah setinggan musnah terbakar hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 petang itu, kawasan rumah berkenaan dipercayai menjadi pusat pengumpulan barang lusuh.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.20 petang.

Katanya, operasi itu disertai sepasukan 26 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, Kuala Selangor, Sekinchan serta Sungai Besar.

“Setibanya di lokasi kejadian, api sedang marak di lima rumah setinggan berkelas C tersebut.

“Pemeriksaan mendapati semua premis berkenaan musnah terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Zulfikar, kebakaran itu berjaya dikawal pihaknya pada pukul 1.45 petang.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini. 

“Punca sebenar kejadian dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Tambah beliau, pemantauan lanjut bagaimanapun masih dijalankan bomba di sekitar lokasi kejadian.-UTUSAN ONLINE