GEORGE TOWN: Lorong Kulit atau lebih dikenali sebagai Rope Walk di sini bertukar wajah menjadi set penggambaran filem Hollywood apabila dipilih sebagai antara lokasi penggambaran filem terbaharu terbitan Netflix, The Big Fix yang dibintangi pelakon terkenal, Mark Wahlberg.
Kehadiran produksi antarabangsa itu bukan sahaja menarik perhatian orang ramai, malah membuka peluang kepada penduduk dan peniaga tempatan untuk merasai sendiri pengalaman berada di sebalik tabir pembikinan filem bertaraf Hollywood sebagai pelakon tambahan dan kru sokongan
Bagi peniaga, Sheikh Mokhtar Sheikh Ali, 60, peluang tersebut disifatkan sebagai pengalaman paling bermakna sepanjang lebih 15 tahun berniaga di kawasan berkenaan.
Katanya, proses penggambaran bermula pukul 8 pagi dan berakhir kira-kira pukul 5 petang dengan setiap pergerakan di lokasi diurus secara tersusun serta profesional.
“Saya menjaga gerai yang menjual pelbagai barangan mainan dan barang koleksi di Rope Walk. Pihak produksi datang berjumpa kami dan menawarkan peluang untuk menjadi pelakon tambahan.
“Saya bukan seorang, ada beberapa lagi peniaga dan individu di kawasan itu yang dipilih untuk terlibat dalam penggambaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sheikh Mokhtar berkata, walaupun hanya memegang watak pelakon tambahan, pengalaman bekerja bersama kru produksi Hollywood sukar dilupakan kerana mereka bekerja dengan sangat profesional serta mengikut perancangan.
Tambahnya, hanya individu yang telah dipilih lebih awal dibenarkan berada di kawasan penggambaran sebagai pelakon tambahan, manakala orang awam pula tidak dibenarkan menyertai penggambaran.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, pemilihan Pulau Pinang membuktikan keyakinan industri perfileman antarabangsa terhadap keupayaan negeri itu sebagai destinasi penggambaran bertaraf dunia.
“Kehadiran produksi antarabangsa bukan sahaja merancakkan ekonomi tempatan melalui sektor perhotelan, pengangkutan, perniagaan dan industri kreatif di negeri ini,” katanya.
Untuk rekod, Wahlberg dikenali kerana membintangi filem francais popular iaitu The Transformers selain beberapa filem lain termasuk The Departed dan Lone Survivor.
Difahamkan, selain The Big Fix, antara filem Hollywood lain yang pernah menjalani penggambaran di Pulau Pinang sebelum ini termasuk filem romantik, Anna And The King (1999) serta filem aksi terkenal lakonan Jason Statham iaitu Mechanic: Resurrection (2016) dan lain-lain. – UTUSAN




