LUCT kena segera akreditasi program kebajikan pelajar – MQA

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) dinasihatkan untuk segera membuat penambahbaikan dan permohonan semula Akreditasi Penuh bagi program yang ditarik balik Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, sejak perkara itu ditimbulkan Mei lalu, pihaknya ada berhubung dan bertemu dengan beberapa kumpulan utama universiti berkenaan.

“MQA menyarankan supaya LUCT mengambil tindakan drastik untuk membuat penambahbaikan yang diperlukan dan seterusnya memohon semula Akreditasi Penuh bagi menjamin kebajikan pelajar mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai lapan program LUCT yang terkesan selepas akreditasinya dibatalkan membabitkan sebilangan besar pelajar universiti itu.

Lapan program terbabit terdiri daripada tujuh program peringkat ijazah sarjana dan satu Ijazah kedoktoran telah diberikan Akreditasi Penuh masing-masing sejak tahun 2010, 2011, 2012 dan 2013.

Selaras dengan syarat pemberian Perakuan Akreditasi Penuh, MQA telah melaksanakan penilaian pematuhan terhadap syarat Akreditasi Penuh bermula pada 9 Mac 2018.

Tempoh masa sewajarnya diberikan kepada LUCT untuk memastikan syarat Akreditasi Penuh dipatuhi, namun hasil daripada penilaian pematuhan itu, Perakuan Akreditasi Penuh program berkenaan terpaksa dibatalkan berkuat kuasa mulai 29 September 2020.

Susulannya, pihak LUCT telah mengemukakan permohonan Akreditasi Penuh yang baharu ke MQA bagi semua program terbabit pada 15 Oktober 2020.

Bagaimanapun, setelah penilaian semula dilaksanakan, didapati langkah pembetulan masih belum dilaksanakan, maka permohonan Akreditasi Penuh program tersebut turut telah ditolak pada 25 Februari 2021 (tiga program) dan 30 Mac 2021 (lima program).

Sehingga kini, pihak LUCT telah mengemukakan tiga permohonan Akreditasi Penuh daripada lapan program terbabit yang mana penilaiannya dijangka selesai pada November 2021.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, dua bulan lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sudah mengarahkan LUCT untuk membuat semula permohonan Akreditasi Penuh.

Katanya, perkara itu turut diulangi ketika memberi jawapan parlimen, baru-baru ini mengenai usaha yang diambil kementerian bagi membantu pelajar yang terkesan.

“Wakil pelajar terkesan juga ada membuat perbincangan secara maya dengan MQA dan nasihat sewajarnya sudah pun diberikan.

“Sekiranya LUCT tidak dapat mengemukakan permohonan semula Akreditasi Penuh, disarankan pelajar program berkenaan dibenarkan untuk menyambung pengajian ke universiti lain dan MQA boleh membantu untuk menjadi pemudah cara,” katanya. – MalaysiaGazette