'Luluh hati saya…'

'Luluh hati saya…'

bhnews@bh.com.my

KOTA BHARU: “Sepatutnya dia pulang ke rumah semalam selepas tiga minggu kami tidak berjumpa, namun tidak menyangka dia pergi buat selama-lamanya,” luah, Sepiah Salleh, 60, ibu mangsa lemas, Juhairohafizan Juhari, 35.

Mayat Juhairohafizan ditemukan jam 2.50 pagi tadi selepas dihanyutkan ombak ketika cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak dalam kejadian di Pantai Kandis Pulau Kambing, di sini, semalam.

Sepiah berkata, anak ketiga daripada 11 adik beradik itu ada memberitahu ingin balik berjumpanya selepas lama tidak pulang kerana sibuk menguruskan ternakan dan ladang timun miliknya.

“Namun, petang semalam, saya menerima panggilan daripada besan yang juga ibu mentua Juhairohafizan, memberitahu bahawa dia lemas. Luluh hati saya ketika mendengar khabar ini kerana tidak menyangka kehilangannya sekelip mata.

“Setahu saya, dia memang pandai berenang malah selalu juga turun ke laut berseorangan untuk memukat dan mencari ikan, lagipun dia adalah pesara tentera yang mahir berenang.

“Saya ke lokasi kejadian yang jaraknya hanya 100 meter dari rumah arwah, dan menunggu pasukan keselamatan mencari jasadnya sehinggalah dia ditemui,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Unit Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kanak-kanak yang cuba diselamatkan Juhairohafizan, Muhammad Aman Firas Aman Syah, 12, dari Kampung Aman, Jalan Tok Bali ditemukan selamat pada jam 11 malam, pada jarak 300 meter dari lokasi kejadian oleh nelayan yang turut membantu operasi mencari dan menyelamat.

Selain Juhairohafizan, seorang lagi lelaki, Mohd Bahudin Mat Shah, 46, turut ditemukan lemas ketika turut sama menyelamatkan Muhammad Aman Firas.

Sepiah yang ditemui masih terkejut dengan kejadian itu turut berkongsi mengenai sikap Juhairohafizan, yang suka bergurau dan juga seorang anak yang sangat baik untuknya.

“Kami pasti merindui gelagatnya yang suka menyakat adik beradik yang lain, namun reda dengan pemergian arwah selain berharap isteri dan anak arwah yang berusia 11 tahun, tabah menghadapi dugaan ini.

“Insya-Allah, jika selesai semuanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dangar Tinggi, Bachok, selepas Zuhur, hari ini,” katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top