Rampasan sisik tenggiling telah dilupuskan

Kuala Lumpur: Sisik Tenggiling (pangolin scale) bernilai RM 25,390,575 di pasaran gelap dilupuskan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, proses melupuskan sisik Tenggiling seberat 2,058 kilogram (kg) dilakukan di Pusat Kualiti Alam, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Menurutnya, pelupusan itu dilakukan melalui kaedah pembakaran di dalam insinerator di pusat berkenaan.

“Sisik Tenggiling ini adalah rampasan beberapa kes bermula tahun 2017 sehingga 2019 yang sebahagaian besarnya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum diserahkan kepada Perhilitan.

“Pelupusan sisik tenggiling ini adalah satu kejayaan besar untuk negara sekaligus menunjukkan tahap keseriusan negara dalam membendung penyeludupan hidupan liar. Tindakan ini juga adalah salah satu obligasi negara di bawah CITES,” katanya.

Beliau berkata, tenggiling adalah hidupan liar yang disenaraikan sebagai spesies tidak boleh di Perdagangan dibawah Konvesyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES).

Menurutnya, sisik tenggiling mendapat permintaan tinggi untuk diseludup ke China kerana dipercayai berkhasiat memulihkan pelbagai penyakit.

“Sisik tenggiling mendapat permintaan tinggi kerana banyak digunakan dalam perubatan tradisional Cina dan harga sisik haiwan itu boleh mencecah sehingga RM12,800 untuk satu kg,” katanya.

JKDM sebelum ini turut mematahkan cubaan menyeludup sisik tenggiling seberat 6,160 kg bernilai RM78 juta di Pelabuhan Utara, Selangor pada 1 April lalu.

Cubaan menyeludup sisik tenggiling itu dikesan pasukan anggota JKDM Zon Tengah Unit II selepas menahan dan memeriksa sebuah kontena.

Siasatan mendapati sisik tenggiling itu disembunyikan di sebalik guni berisi kacang gajus.

 

ZA137 Malay News

National Desk