Glasgow: Sam Williamson melengkapkan kebangkitan luar biasa dalam kariernya apabila menghadiahkan emas buat Australia menerusi acara 100 meter (m) kuak dada lelaki di Sukan Komanwel Glasgow, hanya 15 bulan selepas mengalami kecederaan lutut yang hampir menamatkan kerjayanya.
Perenang berusia 28 tahun itu mencatat masa 59.17 saat (s) untuk menewaskan juara Olimpik tiga kali dari England, Adam Ramsay-Peaty, yang sekadar meraih gangsa, manakala Filip Nowacki dari Jersey merangkul perak.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Williamson yang terpaksa berehat lebih setahun selepas tendon patela lututnya putus ketika latihan pada April tahun lalu, menyebabkan dia tidak mampu berjalan dan terpaksa melalui proses pemulihan yang panjang.
Williamson mengakui detik sukar itu membuatkan dia tertanya-tanya sama ada mampu kembali bersaing di pentas tertinggi, namun sokongan keluarga, jurulatih dan teman wanitanya menjadi pemangkin untuk bangkit semula.
Kemenangan di Tollcross International Swimming Centre turut membantu Australia meneruskan penguasaan acara renang selepas meraih lima pingat emas daripada lapan acara yang dipertandingkan pada hari kedua.
Pengurus pasukan Australia menyifatkan kejayaan Williamson sebagai antara kisah kebangkitan paling hebat pada temasya kali ini, apatah lagi dia berjaya menewaskan pemegang rekod dunia dan legenda acara kuak dada, Ramsay-Peaty.
© New Straits Times Press (M) Bhd




