BN terus tawar politik kesederhanaan, kestabilan, perpaduan

BN terus tawar politik kesederhanaan, kestabilan, perpaduan

yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) akan terus menawarkan politik kesederhanaan, stabil dan perpaduan selain mempertahankan Perlembagaan, Rukun Negara dan formula kenegaraan, selain kekal dengan prinsip gabungan itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, BN antara lain tidak menggadaikan prinsip perjuangan atau menerima naratif politik mana-mana pihak walaupun menjalinkan kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ketetapan itu, katanya, mengambil kira asas menyatukan negara sejaka merdeka yang perlu terus dipertahankan, selain menolak golongan membina tembok perkauman dan meniupkan politik ketakutan.

“BN akan terus mengekalkan kepimpinan yang membina jambatan perpaduan, mengukuhkan keyakinan rakyat dan menawarkan masa depan dikongsi bersama seluruh rakyat.

“BN ialah gabungan politik pelbagai kaum yang sudah lebih enam dekad membuktikan negara mampu dibangunkan atas asas perkongsian kuasa,saling menghormati dan kesederhanaan.

“Rekod inilah yang menjadi kekuatan BN dalam memelihara kestabilan, keharmonian dan kemajuan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Zambry berkata, BN menolak dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kenyataan menghidupkan sentimen perkauman, mempersoalkan kedudukan mana-mana kaum sebagai sebahagian warga Malaysia atau menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Katanya, BN juga menolak politik ketakutan yang terus dimainkan pihak tertentu dengan menggambarkan kononnya sesuatu kaum akan terancam jika kerjasama politik parti tertentu menerajui pentadbiran.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, ini kerana politik ketakutan berbahaya kerana ia mengundang curiga, prasangka dan kebencian.

“BN ingin menegaskan persefahaman dan kerjasama politik pada PRN Sembilan tidak sekali-kali bermaksud BN akanmenggadaikan prinsip perjuangan atau menerima naratif politik mana-mana pihak,” kata Ahli Dewan Negara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top