LABUAN – Wilayah Persekutuan Labuan melancarkan Pelan Strategik Keterjaminan Makanan Wilayah Persekutuan Labuan 2026–2030 sebagai dokumen hala tuju bagi memperkukuh sistem makanan wilayah itu untuk tempoh lima tahun akan datang.
Pelancaran pelan strategik itu diadakan bersempena program Road to MAHA Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung selama empat hari bermula 23 hingga 26 Julai di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Jabatan Perdana Menteri (JPM), program itu dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menurut kenyataan itu, Road to MAHA adalah kesinambungan kepada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 akan berlangsung di MAEPS, Serdang, Selangor, dari 28 Ogos hingga 6 September dengan tema Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan.
Katanya, pemilihan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai salah satu lokasi penganjuran adalah bertepatan dengan kedudukan geografinya yang berdepan pelbagai cabaran dalam rantaian bekalan makanan.
“Pada masa ini, kira-kira 90 peratus bekalan makanan Labuan diperoleh dari Sabah, manakala hanya 10 peratus dihasilkan di peringkat tempatan,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Sempena majlis perasmian, Mohamad turut melancarkan Pelan Strategik Keterjaminan Makanan Wilayah Persekutuan Labuan 2026–2030 yang menggariskan strategi, inisiatif dan pelan tindakan bagi memperkukuh sistem makanan Labuan untuk tempoh lima tahun akan datang.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian geran dan insentif pertanian kepada kumpulan sasar berjumlah RM2,236,445, selain sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik bagi Pembangunan Industri Tuna dan Ekosistem Pemprosesan Makanan Laut di Wilayah Persekutuan Labuan.
Turut diadakan penyampaian Watikah Pelantikan Penyelaras Pavilion Negeri MAHA 2026 bagi Negeri Sarawak dan Jabatan Wilayah Persekutuan.
Hadir sama Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Anak Utom serta Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.
Turut hadir, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Indera Dr Suhaili Abdul Rahman; Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak; Ketua Pengarah JWP, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain; serta pegawai kanan KPKM, JWP.
Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan, penganjuran Road to MAHA Labuan menjadi platform advokasi bagi meningkatkan kesedaran bahawa usaha memperkukuh keterjaminan makanan merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen kerajaan, industri dan masyarakat.
Program turut mengetengahkan pelbagai pengisian menerusi beberapa zon pameran, antaranya Zon Keterjaminan Makanan dan Inovasi, Zon Penternakan Moden, Zon Akuakultur dan Industri Tuna, Zon Agropelancongan dan Budaya, Zon Usahawan PKS dan Belia serta Empayar Makanan Labuan.



