Madonna, BTS, Bieber gegarkan persembahan separuh masa pertama final Piala Dunia

Madonna, BTS, Bieber gegarkan persembahan separuh masa pertama final Piala Dunia

East Rutherford: Final Piala Dunia 2026 mencipta sejarah apabila buat pertama kali memperkenalkan persembahan separuh masa bertaraf Super Bowl yang dibintangi barisan artis ternama dunia termasuk Madonna, Shakira, Justin Bieber, BTS dan Coldplay.

Persembahan selama 12 minit di Stadium MetLife itu turut diserikan dengan penampilan legenda bola sepak Brazil, Ronaldo dan Ronaldinho, selain pelakon siri popular Ted Lasso, Jason Sudeikis dan Brendan Hunt.

Madonna membuka tirai persembahan apabila dibawa masuk ke tengah padang menaiki buggy yang dipandu Ronaldo dan Ronaldinho sebelum mendendangkan lagu Music.

Ia kemudian disusuli persembahan orkestra diketuai konduktor terkenal Gustavo Dudamel yang mempersembahkan lagu ikonik Seven Nation Army bersama pemuzik dari Amerika Syarikat, Venezuela dan Iran.

Kumpulan sensasi K-pop, BTS pula menghiburkan penonton menerusi lagu popular Dynamite yang diubah suai liriknya bertemakan bola sepak sebelum Bieber menyampaikan versi istimewa lagu Everything Hallelujah.

Shakira bersama penyanyi Nigeria, Burna Boy, kemudian menghangatkan suasana menerusi lagu tema rasmi Piala Dunia 2026, Dai Dai, yang turut diserikan persembahan penari dari Uganda.

Persembahan itu turut memberi penghormatan kepada legenda bola sepak Brazil, Pele, menerusi tayangan rakaman ucapan terakhirnya di Stadium Giants pada 1977, lokasi sama yang kini menempatkan Stadium MetLife.

Pele meninggal dunia pada 2022.

Acara diakhiri dengan persembahan Coldplay bersama koir sekolah PS22 Chorus dari New York serta watak-watak terkenal The Muppets dan Sesame Street.

Menurut Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), persembahan bersejarah itu dianjurkan bagi menyokong FIFA Global Citizen Education Fund, dana yang bertujuan mengumpul AS$100 juta (RM425 juta) untuk menyediakan akses pendidikan dan sukan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh dunia.

Setakat sebelum final berlangsung, dana berkenaan sudah mengumpul lebih AS$60 juta (RM255 juta) termasuk sumbangan AS$1 (RM4.25) daripada setiap tiket Piala Dunia yang dijual.

FIFA turut mengumumkan sebanyak 58 pertubuhan di seluruh dunia akan menerima geran daripada dana itu, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 kanak-kanak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top