am@hmetro.com.my
Tuaran: Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan tunai sebanyak RM3,000 kepada peniaga kecil yang menjalankan perniagaan di tepi jalan di kawasan Sulaman bagi membantu meringankan beban serta memperkukuh kelangsungan perniagaan mereka.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata beliau mengarahkan Pejabat Daerah Tuaran supaya menyenaraikan semua peniaga kecil yang layak supaya ia dapat diagihkan dalam masa terdekat.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya berjanji dan berharap senarai penerima dapat disiapkan secepat mungkin supaya bantuan tunai ini dapat disalurkan,” katanya.
Beliau berkata demikian, ketika merasmikan Karnival Usahawan dan STEM X Challenge sempena perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Lok Batik, di sini, malam hari ini.
Hajiji berkata, beliau memahami cabaran yang dihadapi peniaga kecil dan berharap bantuan itu mampu memberi kelegaan serta meningkatkan semangat mereka untuk terus berniaga.
Menurutnya, penganjuran Karnival Usahawan dan STEM X Challenge turut menjadi platform penting dalam membantu usahawan kecil, khususnya golongan muda, mengembangkan perniagaan serta membuka peluang menjana pendapatan yang lebih baik.
“Bukan semua orang berpeluang bekerja dalam sektor kerajaan, namun bidang keusahawanan mampu menjadi sumber rezeki yang baik.
“Yang penting, kita perlu rajin berusaha dan tidak malu untuk berniaga,” katanya.
Beliau turut menegaskan kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif bagi memperkasa usahawan, terutama usahawan muda, supaya mampu berkembang dan bersaing.
Mengenai STEM X Challenge, Hajiji berkata penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) amat penting dalam melahirkan modal insan berkualiti yang mampu memenuhi keperluan pembangunan negara.
“Anak-anak kita perlu menguasai STEM kerana bidang ini sangat diperlukan untuk mencapai kejayaan serta memacu pembangunan negara dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, program yang diinspirasikan sempena Piala Dunia FIFA 2026 itu turut membawa mesej bahawa nilai disiplin, strategi, kerjasama dan semangat juang dalam sukan juga penting untuk mencapai kejayaan dalam bidang STEM dan keusahawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




