Majer duri dalam daging Denmark

Majer duri dalam daging Denmark

Majer (dua dari kanan) meledak gol pada lewat perlawanan bagi membantu Croatia menewaskan Denmark 2-1 dalam saingan Liga Negara-Negara pada Jumaat. – Foto Agensi

PEMAIN gantian, Lovro Majer mencipta sensasi apabila membantu Croatia meraih tiga mata berharga ketika menewaskan Denmark, 2-1 untuk memimpin Kumpulan 1 Liga Negara-Negara.

Ketika keputusan seakan terikat 1-1, Majer muncul penyelamat apabila menyumbat gol kemenangan pada lewat permainan.

Gol kemenangan itu hadir dua minit selepas ketua pasukan pelawat, Christian Eriksen menghasilkan gol penyamaan.

Croatia mengulangi kejayaan menewaskan Denmark di Copenhagen, Jun lalu untuk menokok kepada 10 mata selepas lima perlawanan.

Skuad bimbingan Zlatko Dalic itu satu mata di depan Denmark dalam usaha memburu slot ke separuh akhir Liga Negara-Negara jika muncul juara kumpulan.

Pada perlawanan berkenaan, Croatia berpeluang berada di depan pada separuh masa pertama, namun tandukan Mateo Kovacic gagal menemui sasaran pada minit ke-26.

Eriksen hampir meletakkan Denmark di depan pada minit ke-39, apabila melepaskan rembatan deras dengan kaki kiri, tetapi dinafikan ketangkasan Dominik Livakovic.

Sentuhan jaringan akhirnya berpihak Croatia selepas pemain pertahanan, Borna Sosa meledak empat minit selepas separuh masa kedua bermula.

Usaha Denmark untuk menembusi gawang Croatia akhirnya tercapai selepas Eriksen melakukan rembatan cantik pada minit ke-77.

Bagaimanapun kelegaan itu hanya seketika apabila Majer yang menggantikan Mateo Kovacic mengecewakan penjaga gol, Kasper Schmeichel untuk gol kemenangan Croatia.