'Mak, sakit aku ni… mahu pulang sudah aku ini mak'

'Mak, sakit aku ni… mahu pulang sudah aku ini mak'

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: “Mak… Sakit aku ini mak…. Mahu pulang sudah aku ini mak”.

Itu perbualan terakhir Sapina Hasan, 64, dengan anaknya Hanalin Datu Harun, 39, yang meninggal dunia di Korea Selatan akibat penyakit gastrik, baru-baru ini.

Sapina berkata, anaknya menghubunginya pada 21 November lalu, dan dia tidak menyangka yang pulang hanya jenazah Hanalin.

Sapina berkata, walaupun terkejut dengan pemergian anak perempuannya itu namun dia reda dan dia bersyukur urusan membawa pulang jenazah anaknya dipermudahkan.

Malah, katanya, mereka menerima bantuan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan.

Hanalin meninggal dunia di Hospital Asan Chungmu di Wilayah Chungcheong Selatan, pada 24 November lalu, dan dibawa pulang ke tanahair untuk dikebumikan.

Jenazah Hanalin tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 12.50 tengah hari ini menerusi penerbangan Malaysia Airline (MAS).

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Hikmah Kampung Tengah Pekan Kinarut untuk disembahyangkan sekali lagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Belud Sadok, Kinarut.

Dalam pada itu, kakak sulung Allahyarham, Monalisa Datu Harun, 45, berkata, Hanalin memang mempunyai penyakit gastrik tetapi dalam keadaan terkawal.

Bagaimanapun selama lebih empat bulan berada di Korea Selatan, adiknya memaklumkan kurang serasi dengan makanan di negara itu.

“Nalin lebih sanggup beli makanan segera berbanding makan juadah Korea yang disifatkannya pedas.

“Tidak sangka sakit gastrik dialami Nalin semakin teruk sehingga menjadi punca kematian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top