Malaysia cipta hari cemerlang dengan 11 Emas

Malaysia cipta hari cemerlang dengan 11 Emas

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kontinjen Malaysia menutup hari kelapan Sukan Sea Thailand 2025 dengan prestasi paling cemerlang setakat ini apabila meraih 11 pingat emas, 14 perak dan 16 gangsa, menjadikan 41 pingat keseluruhan dalam tempoh 24 jam, pencapaian harian paling cemerlang kem negara sepanjang temasya berlangsung.

Sumbangan emas datang daripada pelbagai cabang sukan, antaranya kriket lelaki T10, e-sukan Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) wanita, muay Thai, bola jaring, pencak silat, menembak serta skuasy yang terus konsisten menghadiahkan kilauan emas buat Malaysia.

Dalam arena tempur, muay Thai menyumbang emas menerusi Wassof Rumijam, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar dan kejayaan waikru wanita oleh Yan Jia Chi, manakala pencak silat pula menyaksikan Muhammad Izzul Irfan Marzuki dan Ummi Mashitah Hassan menguasai gelanggang masing-masing.

Skuad bola jaring wanita negara turut tidak mengecewakan apabila muncul juara buat kali ketiga berturut-turut, sementara kejayaan Gan Chen Jie dalam acara menembak 50 meter rifle 3 posisi wanita mengesahkan dominasi Malaysia di lapang sasar.

Malaysia turut mengutip 14 pingat perak, termasuk daripada memanah, berbasikal lebuh raya, e-sukan lelaki (MLBB), muay Thai, pencak silat, menembak serta pingpong, membuktikan kekuatan negara merentasi sukan teknikal dan berpasukan.

Kutipan 16 pingat gangsa pula hadir daripada pelbagai disiplin termasuk terjun, boling, muay Thai, pencak silat, pelayaran, snuker, triatlon dan angkat berat, sekali gus mencerminkan keupayaan kontinjen Malaysia pada temasya kali ini.

Selepas lapan hari pertandingan, Malaysia kini mengumpul 45 emas, 41 perak dan 106 gangsa, namun kekal di kedudukan kelima carta pingat keseluruhan, di belakang tuan rumah Thailand, Indonesia, Vietnam dan Singapura.

Bagaimanapun, dengan keseluruhan 192 pingat ini bermakna hanya lapan lagi pingat perlu dicari dalam baki temasya sehingga 20 Disember ini, bagi mencapai sasaran 200 pingat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top