Malaysia sekat import udang Thailand, penternak dakwa rugi 100 tan sehari

Malaysia sekat import udang Thailand, penternak dakwa rugi 100 tan sehari
Malaysia sekat import udang Thailand, penternak dakwa rugi 100 tan sehari

Malaysia sebelum ini menggantung import lima spesies udang dari Thailand yang didakwa sebagai langkah timbal balas selepas Thailand mengetatkan syarat kemasukan ikan siakap dari Malaysia. Foto hiasan

BANGKOK – Industri udang Thailand terus berdepan tekanan apabila Malaysia menangguhkan import lima spesies udang dari negara itu sejak 1 Jun lalu, menyebabkan kerugian dianggarkan mencecah 100 tan sehari atau kira-kira 3,000 tan sebulan.

Situasi itu mendorong kumpulan penternak udang dari lebih 20 wilayah menggesa kerajaan Thailand campur tangan segera dan mengadakan mesyuarat khas bagi mencari penyelesaian, memetik laporan Bangkok Post.

Presiden Persatuan Udang Thailand, Ekapoj Yodpinit berkata, pertikaian berkenaan sudah terlalu besar untuk diselesaikan di peringkat agensi dan perlu dibawa ke rundingan antara kerajaan kedua-dua negara.

Menurutnya, pengusaha udang kini menanggung kerugian harian yang semakin meningkat susulan sekatan yang dikenakan Malaysia terhadap lima spesies udang Thailand.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Suriya Juangroongruangkit menyatakan kesediaan untuk mengadakan rundingan dengan Malaysia selepas perbincangan antara agensi perikanan kedua-dua negara yang dijadualkan berlangsung Isnin lalu ditangguhkan tanpa tarikh baharu.

Beliau berkata, tindakan saling mengenakan sekatan perdagangan tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak dan dialog kekal sebagai jalan terbaik bagi mencapai penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua negara.

“Perdagangan bukan permainan menang atau kalah. Rundingan adalah pendekatan terbaik untuk mencapai situasi menang-menang,” katanya.

Malaysia sebelum ini menggantung import lima spesies udang dari Thailand yang didakwa sebagai langkah timbal balas selepas Thailand mengetatkan syarat kemasukan ikan siakap dari Malaysia. – Agensi

Mesti Baca

Scroll to Top