am@hmetro.com.my
Shah Alam : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor berjaya mematahkan cubaan 12 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) masuk ke negara ini dalam operasi bersepadu Op Ehsan dan Op Khas Tanjung 2 SIRI 1/2026 di pesisir pantai Batu Laut, Tanjung Sepat, Kuala Langat, kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kejayaan operasi itu hasil maklumat risikan yang membawa kepada tindakan pantas menggerakkan Bot Pengawal 25 ke lokasi.
“Operasi kira-kira jam 2.30 pagi itu membabitkan kejar buru di laut sebelum serbuan serentak dilaksanakan di darat dan perairan bagi mengekang cubaan kemasukan PATI melalui laluan tidak sah.
“Pemeriksaan mendapati, kesemua yang ditahan terdiri daripada dua lelaki warga Indonesia, seorang lelaki warga Myanmar, dua kanak-kanak lelaki warga Myanmar, tiga wanita warga Indonesia, tiga wanita warga Myanmar serta seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar.
“Kesemua PATI yang masing-masing berusia antara tiga hingga 39 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Muhaimin berkata, dalam operasi itu pasukannya turut merampas sebuah kereta dipercayai digunakan oleh tekong darat.
“Kenderaan terbabit bersama kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 selepas kesemua individu terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Maritim Negeri Selangor menegaskan komitmen berterusan dalam
memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




