Perak: Penjaga gol utama Perak, Hafizul Hakim belum membuat keputusan tentang masa depannya bersama pasukan itu bagi menghadapi kempen Liga Malaysia 2021.
Walaupun Perak dikatakan akan mengekalkan khidmat pemainnya tetapi Hafizul juga difahamkan menerima tawaran lumayan daripada pasukan lain.
Memang ada tawaran daripada pasukan lain. Setakat ini belum ada kepastian ke mana haluan saya. Tengoklah macam mana nanti , kata Hafizul ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Hafizul, 27 bagaimanapun mengakui sudah mengadakan perbincangan dengan pengurusan pasukan Perak tetapi belum membuat keputusan muktamad.
Kontrak saya tamat pada hujung bulan ini. Setakat ini tiada sebarang keputusan, tengoklah macam mana nanti, katanya lagi.
Pemain yang pernah menyarung jersi kebangsaan itu berjaya merebut kembali kedudukannya sebagai penjaga gol utama pasukan The Bos Gaurus setelah menjalani pembedahan lutut kiri pada Mac lalu.
Terkini, pemain itu kecewa dengan pembatalan Piala Malaysia 2020, yang sekali gus menutup ruang pasukan Perak memburu slot dalam Piala AFC.
Cuba lagi tahun hadapan tetapi tidak tahulah dengan pasukan mana, kata pemain itu seolah-olah memberi petanda kemungkinan dia akan berhijrah bagi musim 2021 nanti.
Sumber: UM
Akmal Hakim
Sports Desk