mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kumpulan rock popular era 1990-an, Masa kini dihidupkan semula dengan nama Masa Legacy dengan dianggotai oleh Zack sebagai vokalis, Khai (bass), Arief Mirza (gitar) dan Muss (dram).
Zack berkata, mereka bersyukur dibenarkan untuk menggunakan nama yang terkenal di kalangan penggemar muzik rock tanah air suatu ketika dulu dan berjanji akan memastikan kesinambungan populariti kumpulan berasal dari Kuantan, Pahang ini.
“Penggunaan nama Masa Legacy adalah bagi menunjukkan kami adalah generasi baharu yang bertanggungjawab meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh kumpulan ini.
“Syukur kami diterima baik pendengar terutamanya penggemar lagu Masa, malah mereka menyambut baik usaha untuk memelihara nama Masa,” katanya.
Menurutnya, mereka sering ditawarkan mengadakan persembahan di pelbagai acara dan terbaharu, akan tampil dalam karnival jualan Food Kingdom X Fun Run 2026 bertempat di Anjung Floria, Putrajaya pada 24 Januari ini.
“Sudah tentu kami akan membawa lagu hits Masa iaitu Patahnya Sayap Malam, Persandingan Abadi, Amanda Gadisku, Raja Bersiong dan banyak lagi lagu nostalgia.
“”Tidak ketinggalan kami juga akan membawa single terbaharu berjudul Serupa Namun Berbeza hasil ciptaan Khai dan liriknya oleh saya,” katanya.
Zack menyeru agar peminat yang merindui lagu-lagu kumpulan Masa agar hadir beramai-ramai memberikan sokongan kepada mereka.
Menyingkap latar belakang kumpulan Masa, ia dianggotai oleh Zulkifli Mat Amin (vokalis), Roslan Abdul Karim (gitar utama), Mazwan Malek (gitar kedua), Hasmadi Abdul Hamid (bass) dan Shaiful Bahari Hamzah (drum).
Selain Mazwan dan Shaiful Bahari, tiga lagi anggota kumpulan Masa sudah meninggal dunia.
Sementara itu, Putri Hafirra yang tular dengan jolokan Ella Junior dan kini popular dengan lagu Sayunk I Love U versi rock akan membuat persembahan pada 25 Januari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd

