am@hmetro.com.my
Seremban: Sebuah ladang ayam di Kampung Ulu Air Kuning Selatan, Tampin dekat sini dikenakan tiga kompaun hari ini selepas dikenal pasti menjadi punca kepada masalah lalat yang menghantui penduduk sejak tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mengejut dijalankan bersama agensi kerajaan berkaitan terhadap ladang ayam berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati berlaku pelanggaran syarat operasi oleh pengusaha ladang ayam terbabit dan tindakan diambil dengan mengenakan tiga kompaun,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Beliau memberi reaksi itu bagi mengulas aduan penduduk setempat yang mendakwa sudah tidak tahan berdepan masalah lalat sejak tahun lalu.
Sementara itu, Veerapan menafikan dakwaan mengaitkan sebuah ladang babi lama sebagai punca serangan lalat kerana ladang terbabit sudah ditutup sejak awal pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan sekiranya masalah lalat terbabit terus berlarutan, perkara itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk tindakan yang lebih tegas.
Terdahulu, penduduk memaklumkan mereka sudah mencuba pelbagai kaedah bagi mengurangkan gangguan lalat termasuk menggunakan racun serangga, pelekat lalat dan ubat nyamuk, namun langkah berkenaan hanya memberikan kesan sementara.
Mereka berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang lebih menyeluruh agar masalah yang berulang itu dapat diselesaikan secara berkesan dan tidak terus menjejaskan kehidupan harian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




