‘Masih banyak kerja rumah buat Harimau Malaya’

‘Masih banyak kerja rumah buat Harimau Malaya’

JURULATIH negara, Tan Cheng Hoe belum mahu mendabik dada biarpun skuad Harimau Malaya membuka kempen Piala ASEAN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2026 dengan kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Bangladesh di Jakarta pada Jumaat.

Pengendali sementara itu sebaliknya mengakui masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan pasukan negara tampil lebih mantap dalam perlawanan seterusnya.

Menurut Cheng Hoe, aspek keserasian dan persefahaman antara pemain juga masih perlu diperkemaskan kerana skuad negara kini berada dalam fasa membina sebuah pasukan yang mampu bermain sebagai satu unit.

“Pada masa sama, kami masih dalam proses membina pasukan untuk bermain sebagai satu pasukan dan mempunyai persefahaman yang baik.

“Ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi sudah tentu kami perlu berpuas hati dengan keputusan ini,” katanya.

Cheng Hoe. Foto FB FAM

Cheng Hoe. Foto FB FAM

Beliau turut menegaskan transisi permainan perlu diberikan perhatian selepas beberapa situasi menyaksikan pemain negara kehilangan penguasaan bola dengan mudah ketika berdepan Bangladesh.

“Sudah tentu ada beberapa bahagian yang memerlukan penambahbaikan, terutama ketika transisi kerana kadang-kadang kami terlalu mudah kehilangan bola.

“Namun sebagai jurulatih, saya sangat gembira dengan cara kami bermain, mengekalkan bola dan menjaringkan gol,” katanya.

Cheng Hoe turut mengakui kemenangan itu lebih bermakna kerana pemainnya berjaya mengekalkan prestasi dalam keadaan mencabar apabila perlawanan berlangsung pada jam 4 petang dalam cuaca panas.

“Kami tahu ia bukan perlawanan mudah. Ia saingan yang sukar, bermain pada jam 4 petang.

“Sebagai jurulatih, sudah tentu saya sangat berpuas hati dengan keputusan ini dan berharap kami dapat mengekalkan momentum yang baik,” katanya.

Bekas jurulatih Kedah itu turut memuji Bergson da Silva yang mencetak gol pada penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan.

Beliau menyifatkan jaringan penyerang itu sebagai permulaan positif yang mampu meningkatkan motivasi serta keyakinannya untuk terus membantu pasukan.

“Kami perlu mengucapkan tahniah kepada Bergson kerana ini kali pertama dia bersama pasukan dan dia berjaya menjaringkan gol. Ia satu motivasi yang baik dan memberikan keyakinan kepadanya,” katanya.

Malaysia mengumpul tiga mata selepas menewaskan Bangladesh 3-0 dalam aksi pertama Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno.

Arif Aiman Hanapi muncul watak utama apabila meledak dua gol pada minit ke-18 dan ke-37, sebelum Bergson melengkapkan kemenangan menerusi jaringan pada minit ke-52.

Harimau Malaya bagaimanapun tidak mempunyai banyak masa untuk berehat apabila bakal berdepan cabaran lebih getir menentang tuan rumah Indonesia di venue sama, Isnin ini.

Scroll to Top