Mayat anak ditemukan dalam ladang sawit kerap dilalui bapa

Mayat anak ditemukan dalam ladang sawit kerap dilalui bapa

KOTA TINGGI: Bapa kepada ­Allahyarham Muhammad Nasrulhaq Kamaruzaman, 15, me­ngakui kerap melalui kawasan di mana mayat anaknya ditemukan awal pagi semalam sepanjang tempoh mencarinya sejak seminggu lalu.

Kamaruzaman Bahari, 50, berkata, lokasi penemuan anaknya iaitu di kawasan ladang kelapa sawit di Kilometer 8.2, Jalan Kluang-Kota Tinggi, di sini merupakan laluan biasa buat dirinya.

“Memang terasa ralat, saya dan rakan-rakan telah mencari di pelbagai lokasi, termasuklah di laluan berkenaan beberapa kali. Saya ambil cuti bekerja untuk mencari anak saya.

“Memang tak cukup rehat, kepala ligat memikirkan kea­daan anak. Sejak dimaklumkan oleh emak mertua yang anak tidak balik ke rumah, saya terus bergegas pulang dan memulakan pencarian.

“Dari Ahad lepas sehinggalah malam sebelum ditemui, saya keluar pagi dan hanya pulang ke rumah lewat sebelum menyambung semula pencarian keesokan harinya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini semalam.

Tambah Kamaruzaman, kawasan laluan berkenaan seolah-olah sudah menjadi rumah keduanya kerana kerap melalui kawasan tersebut sejak beberapa hari lalu.

“Arwah seorang anak yang sangat baik dan pendiam. Dia tidak pernah menyusahkan sesiapa, kalau tanya dia ada masalah ke tidak, dia akan jawab ‘tak ada apa-apa ayah, okay je’.

“Di sekolah pun dia okay. Dia memang seorang anak yang baik. Reda itu memang reda, tetapi keadaan dia apabila ditemui buat saya sangat terkilan,” katanya.

Tambahnya, Muhammad Nasrulhaq adalah satu-satunya anak yang tinggal selepas kehilangan anak sulung sebelum ini.

“Kepuasan duduk dengan dia selama 15 tahun ini pun rasa belum lagi, sebab kami tidak tinggal bersama.

“Selepas bercerai dengan ibunya, dia duduk bersama bekas isteri di Felda Simpang Waha,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top