am@hmetro.com.my
Ipoh: Mayat seorang daripada dua remaja yang dikhuatiri lemas di Sungai Perak, semalam, ditemukan 4.45 petang ini.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, mayat Muhammad Nazrin Haidar Mohd Hisham, 16, ditemukan berdekatan lokasi mangsa dikatakan jatuh ke sungai.
Beliau berkata, jasad mangsa ditemukan timbul di permukaan air.
“Bomba menggunakan kaedah pusaran bot di kawasan mayat itu dijumpai. Selepas menggunakan teknik itu, nayat didapati timbul,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, mayat dihantar ke Hospital Seri Iskadar, di sini untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pencarian mangsa membabitkan pertukaran teknik.
“Sebab sudah hampir 24 jam, jadi saya minta supaya kita gerakkan bot bomba dan nelayan untuk cuba buat carian di permukaan pada kelodak air yang mana mungkin kalau dia (mangsa) di bawah maka akan timbul dan sekiranya tetap gagal dengan itu maka kita akan perluaskan radius pencarian kita,” katanya.
Setakat 5.30 petang ini seorang lagi mangsa, Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain, 16, belum ditemukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



