Warsaw: Kylian Mbappe menikmati ‘malam yang hebat’ apabila menjaringkan gol pada penampilan pertamanya bersama Real Madrid, membantu pasukannya meraih kejuaraan Piala Super Uefa kali keenam dengan kemenangan 2-0 ke atas Atalanta, awal pagi tadi di Warsaw.
Penyerang sensasi Perancis itu sudah menunggu bertahun-tahun untuk beraksi bersama kelab impiannya itu dan akhirnya menandatangani kontrak dengan Los Blancos pada musim panas lalu selepas kontraknya bersama Paris Saint-Germain (PSG) berakhir.
Fede Valverde memecahkan kebuntuan menerusi gol dari jarak dekat untuk juara Liga Juara-Juara itu pada minit ke-59 selepas lawan mereka yang juga pemenang Liga Europa, bertahan dengan baik pada separuh masa pertama.
Madrid mula mencipta beberapa peluang dan Mbappe meledak gol pada minit ke-68 selepas Jude Bellingham melihatnya meluru ke ruang kosong di dalam kotak penalti sekali gus mengesahkan kemenangan untuk Madrid.
“Ia adalah malam yang hebat. Saya sudah menunggu saat ini dalam tempoh yang lama untuk beraksi dengan jersi dan lencana ini,” kata Mbappe kepada Movistar.
Mbappe berkata dia menjangkakan mampu memperbaiki prestasinya dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
“Saya yakin kami akan menjadi lebih baik. Apapun pencapaian hari ini adalah langkah pertama yang positif,” katanya.
Kemenangan Madrid memastikan jurulatih, Carlo Ancelotti menyamai rekod bekas jurulatih Los Blancos, Miguel Munoz dengan 14 gelaran yang dimenangi selaku pengendali kelab.
Tugas pertama Ancelotti musim ini adalah merancang corak permainan yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan penyerang berstatus bintang dimilikinya.
“(Mbappe) mempunyai kualiti untuk menjaringkan banyak gol,” kata Ancelotti kepada Movistar.
“Apa yang perlu kami cari adalah keseimbangan dalam pasukan. Hari ini kami tidak mempunyai keseimbangan itu,” katanya lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




