Solbakken yakin mampu tumbangkan England

Solbakken yakin mampu tumbangkan England

Miami: Norway sudah mengatasi perasaan gementar mereka di pentas Piala Dunia dan percaya mampu menewaskan England pada aksi suku akhir, kata jurulatihnya Stale Solbakken.

Norway sedang mempertingkatkan persiapan mereka untuk penampilan pertama di peringkat suku akhir Piala Dunia dan Solbakken menggesa anak buahnya supaya tidak berasa gentar berdepan skuad kendalian Thomas Tuchel, Ahad ini.

“Perkara paling penting bagi saya adalah kami menjadi diri sendiri apabila menguasai bola, berani bermain mengikut corak permainan kami dan tidak terlalu memikirkan suasana di sekeliling. Sebaliknya menumpukan perhatian kepada apa yang berlaku di atas padang,” kata Solbakken kepada pemberita.

“Saya mahu melihat pasukan Norway bermain mengikut kekuatan sendiri dan menjadi diri mereka.”

Kempen Norway bermula dengan agak goyah ketika menentang Iraq, dengan Solbakken mengakui pemainnya kelihatan terlalu gementar pada aksi pembukaan kumpulan sebelum akhirnya menemui rentak dalam kemenangan 4-1.

“Anda dapat melihat pasukan sangat gugup dalam tempoh 20 minit pertama menentang Iraq apabila kami tidak mampu melakukan hantaran,” katanya.

“Perkara itu ada kaitan dengan suasana perlawanan, memandangkan sudah 26 tahun sejak penyertaan terakhir Norway dalam kejohanan utama dan tiada seorang pun pemain kami pernah beraksi di Piala Dunia sebelum ini.

“Namun, jurulatih itu percaya pemainnya kini sudah menemui rentak selepas menewaskan lawan kuat seperti Brazil pada pusingan 16 terakhir, sekali gus memberikan mereka keyakinan untuk berdepan ancaman hebat terutama daripada jentera serangan England.

“Sudah tentu, apabila anda bertemu pasukan seperti England yang memiliki pemain berkualiti di bahagian sayap. (Jude) Bellingham dan (Harry) Kane pula mampu menjaringkan gol dari pelbagai posisi,” kata Solbakken.

“Mereka juga mempunyai gandingan yang hebat di bahagian tengah. Kami perlu bersaing di kawasan itu dan perlu bertahan dengan baik.

“Pemain percaya mereka mampu menewaskan England. Namun, sudah tentu kami perlu mempamerkan aksi terbaik kami. Jika tidak, England akan mara.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top