syafil.syazwan@hmetro.com.my
SELEPAS lebih tiga dekad memperjuangkan seni etnik kreatif dan warisan Melayu, Ratu Etnik Kreatif Noraniza Idris mengakui masih belum menemui calon pelapis yang benar-benar mampu meneruskan legasi perjuangannya.
Noraniza, 58, berkata cabaran terbesar dalam mencari pengganti adalah untuk menemui individu yang mempunyai jiwa besar serta sanggup berkorban demi memartabatkan seni budaya, bukan sekadar mengejar nama dan populariti.
“Belum jumpa. Sebenarnya, lagi dalam kita mendalami dunia kebudayaan ini, lagi susah nak cari penerus atau pelapis yang ada jiwa seperti kita.
“Kebanyakannya mahu buat sesuatu untuk nama. Tetapi, saya selalu letakkan nama di belakang berbanding dengan hasil yang kita bina.
“Tidak dinafikan generasi pelapis seronok dengan apa yang kita buat, tapi nak cari yang boleh berkorban itu susah,” katanya.
Penyanyi lagu Dikir Puteri ini bukan sahaja aktif di pentas suara, malah dikenali sebagai penggerak budaya menerusi penganjuran program seni tari, khususnya zapin melalui inisiatif Zapin Living Lab serta pembangunan modul pendidikan budaya.
Menurut Noraniza, satu lagi kekangan dalam melahirkan pelapis adalah sikap segelintir pihak yang gemar menyimpan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengalaman sendiri daripada dikongsi dengan generasi muda.
“Apabila sudah buat R&D, mereka simpan untuk diri sendiri dan tak berkongsi. Jadi bagaimana anak-anak pelapis nak dapatkan input tepat?
“Sekarang kita banyak bergantung kepada TikTok yang lebih kepada kandungan. Dari segi ilmu sebenar, ia tidak tepat. Sebab itulah saya rasa kita kena buat pelbagai program seni sebegini,” katanya.
Mengulas lanjut, Noraniza menjelaskan matlamat utamanya kini memastikan warisan seni Melayu terpelihara menerusi pendidikan dan pemindahan ilmu yang tepat.
Usaha itu, katanya, bermula sejak 2012 menerusi pertandingan Tingkah Laga Zapin peringkat kebangsaan sebelum diperluaskan melalui jelajah negara, program televisyen bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta bengkel adab seni zapin.
Bagaimanapun, dia mengakui fasa awal pembabitan itu agak sukar kerana ramai peserta lebih mengejar kemenangan berbanding ilmu.
“Ramai yang mahu kejar hadiah, tetapi tidak mahu sertai bengkel. Dari situ saya nampak sesuatu harus dilakukan, sebab itu akhirnya saya fokus kepada bengkel dan pendidikan menerusi Zapin Living Lab,” katanya.
Katanya, seni zapin bukan sekadar tarian, malah sarat dengan nilai adab, disiplin dan falsafah kehidupan masyarakat Melayu.
“Saya mahu jadikan zapin sebagai rujukan kerana nilai tradisionalnya sangat kuat. Dalam zapin ada didikan jati diri, cara menyantuni orang, menghormati wanita dan berdiplomasi.
“Ilmu yang kita mahu hidupkan semula supaya generasi hari ini bukan sekadar pandai menari, tetapi faham nilai budaya sebenar. Daripada disalah bawa, lebih baik kita teruskan walaupun sukar. Ini tanggungjawab yang saya galas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




