Mencari Raudhah

Mencari Raudhah

PERASAAN hiba ketika solat subuh hari ini kerana sujudku tidak lagi di sebelah makam kekasih Allah. Jiwa memberontak mahu segera kembali. Air mata tak dapatku benteng lagi kerana hinanya diri tidak dipilih Allah untuk mati di Tanah Suci. 

Advertisement

Ya Allah, Ya Allah, aku sangat berdosa kepadaMu. Ya Rasulullah Kekasih Allah, Aku datang dari jauh menziarahiMu wahai Kekasih Allah. Kau berikanlah syafaatMu kepada diriku yang hina ini.

Sekian lamanya aku bergelumang dengan dosa, tenggelam dan lemas ke dalam cinta dunia. Hati tiba-tiba berdetik untuk menziarahi Kekasih Allah dan ke Baitullah. Berbulan-bulan persiapan akhirnya aku berlepas juga ke sana. 

Hampir setiap waktu dan hari aku tunduk malu di pintu Babus Salam. Menyusuri Sirah perjuangan Baginda dan para Sahabat, Para Syuhada Uhud dikerat-kerat jasadnya serta darah Kekasih Allah menitis tumpah di bumi Uhud dan Taif agar hari ini aku dapat menikmati keindahan dan keagungan Islam. 

Aku malu kerana tiada pengorbanan yang mampu aku persembahkan buat Allah dan Rasul. Layakkah aku mencium bau syurgaMu Ya Allah. Layakkah aku untuk mati di sana bersama KekasihMu Ya Allah. 

Hari yang ditunggu tiba juga, aku melangkah sayu, berdiri kaku di hadapan Raudhah, bertawassul kepada Kekasih Allah agar pertemuan ini tidak berakhir di sini. Aku ingin kembali menziarahiMu Ya Rasulullah.

Tumit kakiku yang koyak dan pedih melangkah terus sambil bertalbiah ke Kota Suci Makkah. Menyahut panggilanMu Ya Allah dari negeri jauh dengan timbunan dosa dan ku sujud dengan linangan air mata di hadapan Kaabah memohon kemaafanMu serta syurgaMu Jannatun Naim

Ya Allah, Tuhan yang mengembalikan sesuatu, kembalikanlah aku ke Baitullah sekali lagi. Jangan kau jadikan hari ini sebagai hari yang penghabisan bagi aku menziarahi Baitullah. Aku rindu kepada KekasihMu, Aku rindu kepadaMu Ya Allah. Jika ditakdirkan tawaf dan ziarah hambuMu ini yang terakhir, ku pohon syurga RaudhahMu sebagai gantinya. 

HUZIR SULAIMAN
9 Jamadil Akhir 1444 – HARAKAHDAILY 9/1/2023

Scroll to Top