ATLANTA: Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA) menggesa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjalankan siasatan terhadap pengadil yang mengendalikan perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 menentang Argentina selepas mendakwa berlaku beberapa kesilapan yang menjejaskan peluang pasukan itu.
EFA dalam satu kenyataan memaklumkan presidennya, Hany Aburida telah mengemukakan aduan rasmi kepada FIFA bagi menuntut siasatan terhadap pengadil dari Perancis, Francois Letexier serta keseluruhan pasukan pengadil termasuk pegawai Video Bantuan Pengadil (VAR).
Menurut EFA, beberapa keputusan yang dibuat sepanjang perlawanan menunjukkan layanan tidak konsisten sehingga menafikan hak Mesir untuk mara ke suku akhir.
Kontroversi tercetus apabila jaringan Mostafa Ziko ketika Mesir mendahului 1-0 dibatalkan selepas VAR mengesan kekasaran terhadap pemain Argentina, Lisandro Martinez yang berlaku lebih awal dalam gerakan berkenaan.
Bagaimanapun, Ziko kembali meledak untuk meletakkan Mesir di hadapan 2-0 sebelum Argentina bangkit menyamakan kedudukan menerusi Cristian Romero dan Lionel Messi.
Mesir turut mendakwa mereka sepatutnya diberikan sepakan penalti selepas Alexis Mac Allister dikatakan menarik Hamdy Fathy dalam gerakan yang membawa kepada jaringan kemenangan Argentina oleh Enzo Fernandez.
Dalam kenyataan sama, EFA menegaskan pihaknya menuntut siasatan menyeluruh terhadap semua pegawai perlawanan kerana didakwa melakukan kesilapan nyata serta gagal menyemak beberapa rakaman video yang dipercayai memihak kepada pasukan Mesir.
Malah, EFA turut menggesa FIFA menggugurkan Letexier bersama seluruh pasukan pengadil daripada baki saingan Piala Dunia sekiranya siasatan membuktikan wujud unsur diskriminasi terhadap skuad The Pharaohs.
Sementara itu, ketua jurulatih Mesir, Hossam Hassan meluahkan rasa kecewa terhadap mutu pengadilan sambil mendakwa pasukannya menjadi mangsa ketidakadilan.
“Kami telah dizalimi hari ini (kelmarin). Tiada rasa hormat dan tiada semangat kesukanan,” katanya kepada pemberita sejurus tamat perlawanan.
Hossam turut mendakwa kemungkinan terdapat faktor luar yang mempengaruhi keputusan perlawanan, termasuk keinginan untuk memastikan juara dunia itu terus kekal dalam kejohanan.
Setakat ini, FIFA belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung aduan yang dikemukakan oleh EFA. – AFP




