Meter rosak tak jejas kayuhan Ci Hui

Meter rosak tak jejas kayuhan Ci Hui

mdroji@bh.com.my

Kuching: Kerosakan meter basikalnya hampir meranapkan impian pelumba Perak, Nyo Ci Hui, untuk mengungguli acara ujian masa individu (ITT) wanita Sukan Malaysia Ke-21 (Sukma XXI), hari ini.

Pelumba kebangsaan berusia 21 tahun itu berkata, meter basikalnya tidak berfungsi sejak permulaan perlumbaan sejauh 28.3 kilometer di Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem itu.

“Mungkin meter saya tidak berhubung dengan satelit kerana lokasi perlumbaan ini agak jauh.

“Biasanya saya bergantung kepada meter untuk menetapkan kelajuan, tetapi hari ini saya terpaksa ‘kayuh buta’ dengan menekan sehabis kuat. Nasib baik ‘cadence’ dan pengukur denyutan jantung saya berfungsi,” katanya.

Selain kerosakan meter, Ci Hui turut menghadapi cabaran lain apabila botol air dan jam tangannya terjatuh pada pertengahan perlumbaan manakala pada kira-kira empat kilometer terakhir pula hampir berlanggar dengan kereta yang tiba-tiba berada dalam kawasan perlumbaan.

“Nasib baik kereta itu sempat berhenti dan saya berjaya mengelak,” katanya.

Ci Hui berkata, dia puas dan bangga dapat menyumbang pingat emas buat kontinjen Perak.

“Ini penampilan terakhir saya pada Sukma dan ini kemenangan paling bermakna. Saya puas berjaya melakukannya untuk Perak,” katanya.

Ci Hui mengungguli acara ITT wanita itu dengan catatan masa 41 minit 10.793 saat (s) manakala Zhen Yi Yeong dari Wilayah Persekutuan di tempat kedua dengan 42:43.860s dan Nur Fitrah Shaari dari Kedah di tempat ketiga dengan catatan 43:19.462s.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top