BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang mengagalkan cubaan menyeludup masuk 52,800 tin minuman keras bernilai RM1.01 juta termasuk cukai untuk dijual kepada pekerja warga asing di negara ini.
Pengarahnya, Roselan Ramli berkata, kegiatan penyeludupan itu terbongkar selepas pihaknya menahan sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada 17 Mei lalu.
Jelas beliau, bagi mengaburi mata pihak berkuasa penyeludup mengikrarkan dagangan sebagai perabot pejabat.


“Kejayaan ini merupakan hasil pemantauan pasukan selama dua minggu dan siasatan lanjut mendapati barang dagangan tersebut berasal dari sebuah negara di Asia Timur.
“Semakan lanjut juga mendapati barang itu diimport sebuah syarikat pemilikan tunggal di Selangor namun siasatan mendapati syarikat itu sebenarnya tidak wujud.
“Minuman keras jenis bir ini diklasifikasikan sebagai barang larangan import dan ia dipercayai untuk pasaran pekerja warga asing di negara ini,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini hari ini.
Tambah Roselan, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976. – MalaysiaGazette




