Misi 'pecah' tembok Rafah: Anwar bertemu pemimpin NGO, akan hubungi Presiden Mesir

Misi 'pecah' tembok Rafah: Anwar bertemu pemimpin NGO, akan hubungi Presiden Mesir

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan bersama beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) untuk berbincang strategi lebih terperinci cara menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin melalui jalan darat Mesir.

Anwar berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) pada minggu hadapan sebaik selesai urusan pembentangan belanjawan 2026 pada Jumaat ini.

Beliau berkata, pertemuan itu bertujuan mencari kaedah terbaik untuk menyalurkan bantuan kepada negara itu.

“Saya fikir strategi dan kebijaksanaan itu penting. Jumaat depan akan dibentangkan Belanjawan 2026.

“Selasa depan saya akan panggil Sani (Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby) Nadir al-Nuri dan kawan-kawan untuk kita bincang bagaimana nak pecahkan tembok Rafah.

“Selepas perbincangan, kalau boleh minggu depan juga saya akan hubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi,” katanya ketika menyampaikan pidato khas sempena Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, hari ini.

Anwar menegaskan mesej utama daripada usaha itu adalah solidariti berterusan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin yang kini terus berdepan krisis kemanusiaan.

“Mesej kita menyokong perjuangan rakyat Gaza. Kita nak dunia tidak boleh membisu.

“Dalam dunia bertamadun, hak asasi rakyat Palestin perlu dijamin sama seperti manusia lain termasuk mendapat makanan dan pendidikan,” katanya.

Terdahulu, Sani Araby dalam ucapannya di dalam program sama memohon keizinan Perdana Menteri menggerakkan gelombang kedua misi kemanusiaan menghantar bantuan ke Gaza, Palestin melalui jalan darat Mesir.

“Saya tahu Datuk Seri ada hubungan baik dengan Presiden Mesir, Fattah el-Sisi dan boleh memainkan peranan luar biasa yang tidak terjangkau oleh kita.

“Kita tidak ada pilihan. Kami (Sumud Nusantara Malaysia) minta diberikan laluan dan bersedia untuk menggerakkan gelombang kedua, insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Sani Araby turut meminta Anwar untuk menjadi tonggak utama dalam memainkan peranan memperjuangkan Palestin.

“Kami juga meminta Perdana Menteri untuk menyarung jaket sebagai ‘chief de mission’ bagi membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel serta membina semula Gaza,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top