Misteri 11 saintis maut atau hilang, Washington janji bongkar punca sebenar

Misteri 11 saintis maut atau hilang, Washington janji bongkar punca sebenar

WASHINGTON – Kematian seorang penyelidik berpangkalan di Alabama, Amerika Syarikat (AS), yang berlaku pada 2022 kembali menjadi perhatian apabila dikaitkan sebagai kes ke-11 dalam senarai saintis yang dilaporkan meninggal dunia atau hilang dalam keadaan mencurigakan.

Amy Eskridge, 34, yang berpangkalan di Huntsville, dilaporkan meninggal dunia pada 11 Jun 2022 akibat tembakan yang dipercayai dilakukan sendiri, namun butiran rasmi berhubung kes itu adalah terhad.

Fox News melaporkan kes saintis tersebut kini mencetuskan persoalan baharu susulan sekurang-kurangnya 10 kes lain membabitkan individu yang mempunyai kaitan dengan penyelidikan ketenteraan, nuklear dan aeroangkasa AS, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada wujud corak tertentu.

Presiden AS, Donald Trump memaklumkan, beliau baru sahaja menghadiri mesyuarat berkaitan isu tersebut dan menyifatkan situasi berkenaan sebagai agak serius.

Beliau berharap ia kebetulan semata-mata, sekali gus berjanji jawapan akan diperoleh dalam tempoh terdekat.

Enjin sebuah roket dipamerkan di Pusat Penerbangan Angkasa Marshall, Huntsville yang menjadi hab penyelidikan tempat Amy Eskridge menetap dan bekerja. Foto: Agensi

Enjin sebuah roket dipamerkan di Pusat Penerbangan Angkasa Marshall, Huntsville yang menjadi hab penyelidikan tempat Amy Eskridge menetap dan bekerja. Foto: Agensi

Sementara itu, jurucakap White House, Karoline Leavitt, berkata siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dengan kerjasama semua agensi berkaitan termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Menurutnya, usaha itu bertujuan meneliti semua kes secara holistik bagi mengenal pasti sebarang persamaan yang mungkin wujud.

“Tiada sebarang aspek akan diabaikan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan di platform X.

Eskridge merupakan pengasas bersama sebuah institusi penyelidikan dikenali sebagai Institute for Exotic Science dan mendakwa menjalankan kajian berkaitan konsep pendorongan eksperimen termasuk teknologi ‘antigraviti’.

Dalam satu temu bual pada 2020 bersama YouTuber, Jeremy Rys, beliau mendakwa berdepan gangguan dan ancaman susulan penyelidikannya.

Dalam temu bual sama, Eskridge turut mendakwa tekanan terhadapnya semakin meningkat dan menyifatkan keadaan itu sebagai semakin agresif.

Selain Eskridge, beberapa nama lain turut dikaitkan dalam senarai tersebut termasuk penyelidik serta individu yang mempunyai kaitan dengan makmal berkaitan tenaga nuklear AS.

Bagaimanapun, pihak berkuasa setakat ini tidak mengesahkan sebarang kaitan antara kes-kes tersebut.

Agensi Keselamatan Nuklear Kebangsaan di bawah Jabatan Tenaga AS turut memaklumkan pihaknya sedang meneliti laporan berkaitan kematian dan kehilangan individu yang mempunyai kaitan dengan fasiliti mereka.

Dalam masa sama, tiada bukti kukuh yang mengaitkan kematian Eskridge dengan kes lain, manakala dakwaan yang tersebar dalam komuniti dalam talian masih belum disahkan.

Scroll to Top