MMA harap penyelesaian lebih holistik

MMA harap penyelesaian lebih holistik

fahmy.azril@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengalu-alukan pengumuman kerajaan mengenai ‘nasib’ pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak namun menganggapnya bukan penyelesaian yang tepat ketika penularan pandemik COVID-19.

Presidennya, Prof Datuk Dr M Subramaniam, berkata sepatutnya dalam krisis kesihatan sekarang, lebih banyak jawatan tersedia supaya mereka boleh dilantik sebagai kakitangan tetap.

Selain itu, beliau berkata, permohonan semasa untuk melanjutkan kontrak juga perlu diteliti semula mengambil kira faktor lain yang memungkinkan kelewatan pengkhususan dalam bidang perubatan.

“MMA mengalu-alukan perlanjutan kontrak sebagai langkah segera diambil oleh kerajaan. Bagaimanapun, kita ingin tekankan sekali lagi bahawa ia bukan penyelesaian masalah kerana pandemik ketika ini menunjukkan betapa kritikalnya petugas penjagaan kesihatan dan perlu wujudkan lebih banyak perjawatan untuk jawatan tetap.

“Kita harap selepas ini dapat bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Kementerian Kesihatan mengenai pembangunan holistik sama ada jangka masa sederhana dan panjang untuk pekerjaan kakitangan penjagaan kesihatan dalam sistem kesihatan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Subramaniam berkata, pihaknya pagi tadi ada menghadiri mesyuarat secara maya dengan Perdana Menteri bagi membincangkan isu berhubung doktor kontrak dalam sistem kesihatan awam.

Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri atas kesanggupan meluangkan masa bertemu dengan pihaknya.

“Perdana Menteri menjelaskan ekoran pandemik COVID-19, terdapat beberapa had sekarang ini untuk menyediakan penyelesaian tetap terhadap isu berkenaan ketika ini.

“Bagaimanapun, Perdana Menteri menzahirkan komitmen kuat dalam usaha menyelesaikan isu berkenaan dan berjanji beliau sendiri akan memantau perkembangan.

“Perdana Menteri juga berkata MMA terbabit sama dalam dasar yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan untuk kerajaan bagi mendapatkan situasi lebih baik dari lapangan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan bersetuju pelantikan secara kontrak membabitkan kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya.

Muhyiddin berkata, keputusan itu dibuat selepas Kabinet memahami kebimbangan dan masalah dihadapi kumpulan perjawatan berkenaan berhubung kesetaraan laluan kerjaya mereka.

“Bagi memastikan laluan kerjaya yang setara dan adil, Kabinet bersetuju pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan Cuti Belajar Bergaji penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan.

“Antara persetujuan lain turut dicapai adalah menambah baik kemudahan atau faedah ditawarkan kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak seperti Cuti Tugas Khas Perubatan, Cuti Tibi serta kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top