MPOB komersial lebih 240 teknologi, nilai pasaran melebihi RM6 bilion

MPOB komersial lebih 240 teknologi, nilai pasaran melebihi RM6 bilion

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Bandar Baru Bangi: Pencapaian Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam mengkomersialkan lebih 240 teknologi dengan potensi nilai pasaran melebihi RM6 bilion bukti penyelidikan sawit negara mempunyai nilai ekonomi yang besar dan relevan dengan keperluan industri.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, penyelidikan MPOB bukan sekadar menghasilkan penemuan baharu namun mampu diterjemahkan kepada teknologi, produk dan penyelesaian yang memberi manfaat terus kepada industri.

Beliau berkata, tumpuan penyelidikan MPOB kini merangkumi bidang penting seperti formulasi baja patuh Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sistem kecerdasan buatan bagi proses penuaian dan penggredan tandan buah segar, mekanisasi ladang, produk oleokimia, jaminan makanan serta teknologi mampan.

“Semua ini selari dengan keperluan industri semasa. Pasaran semakin menuntut produk yang mampan.

“Kos operasi semakin meningkat, manakala cabaran tenaga kerja semakin ketara.

“Maka, teknologi bukan lagi pilihan tambahan. Teknologi kini menjadi keperluan utama untuk memastikan industri sawit Malaysia terus kompetitif,” katanya ketika berucap sebelum menyempurnakan Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT)MPOB 2026 di Ibu Pejabat MPOB, di sini, hari ini.

Pada majlis yang sama, Noraini turut menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPOB dengan MySpatial Sdn Bhd bagi teknologi Sawit Geo-Agro Solutions, Nanka Sdn Bhd untuk pengkomersilan Mayonis Vegan Berasaskan Sawit, serta HS Food Sdn Bhd buat Tisu Adipos Analog Berasaskan Sawit.

Hadir sama, Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.

Sempena program hari ini, MPOB melancarkan sembilan teknologi baharu hasil penyelidikan tempatan yang merangkumi keperluan industri daripada sektor perladangan hinggalah kepada penghasilan produk bernilai tinggi.

Dalam pada itu, Noraini berkata, MPOB juga memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi biodiesel sawit.

Beliau berkata,kajian menyeluruh yang dijalankan oleh MPOB membuktikan bahawa biodiesel sawit menepati keperluan teknikal enjin kenderaan semasa serta spesifikasi bahan api yang lebih mesra alam.

“Kerajaan sudah menetapkan pelaksanaan penggunaan biodiesel B10 kepada B15 bermula 1 Jun lalu di seluruh

Semenanjung Malaysia.

“Inisiatif ini memperluas penggunaan adunan bahan api Metil Ester Sawit bersama petroleum diesel.

“Pelaksanaan biodiesel sawit bukan sahaja menyokong agenda ESG dan ekonomi hijau negara terapi turut membantu memperkukuh permintaan domestik terhadap minyak sawit negara.

“Ini penting kerana industri sawit perlu mempunyai pasaran yang kukuh, baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa,” katanya.

Di akhir ucapan, Noraini menyeru syarikat tempatan, usahawan dan penggiat industri supaya menjalin kerjasama lebih erat dengan МРОВ.

Beliau berkata, teknologi dan fasiliti yangsudah tersedia perlu digunakan bagi meneroka peluang komersial baharu yang boleh memberi nilai tambah kepada industri sawit negara.

“TOT МРОВ perlu dilihat sebagai jambatan antara penyelidikan dan pasaran, antara inovasi dan pelaksanaan jugaantara idea dan nilai ekonomi sebenar.

“Saya berharap budaya inovasi ini terus diperkukuh. Teruskan mencari penyelesaian baharu dan membangunkan teknologi yang mampu membantu pekebun kecil, pengusaha ladang, pihak industri dan negara.

“Saya percaya penganjuran TOT MPOB akan terus relevan sebagai platform utama pemindahan teknologi sawit negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top