am@hmetro.com.my
Sepang: Seorang peniaga durian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi palsu berkaitan pembekalan bahan api menerusi media sosial pada April lalu.
Nurhafizul Badrul Hisham, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut kertas pertuduhan, Nurhafizul didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi palsu terbabit dengan niat untuk menyakitkan hati mana-mana orang di aplikasi Facebook menerusi akaun Nurhafizul Badrul Hisham pada 12 April lalu.
Hantaran itu kemudian dilihat di Aras 8, Menara 1, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada jam 6.48 pagi, 13 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan denda selanjutnya sebanyak RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Pegawai pendakwa MCMC, Mohamad Farhan Kamarudin mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya ditawarkan ikat jamin yang rendah kerana tidak memiliki pendapatan tetap selain menanggung isteri yang tidak bekerja, dua anak masih kecil serta ibu dan bapanya.
“OKS (orang kena saman) mempunyai anak masih kecil berusia tiga dan lima tahun serta menjaga ayah berusia 96 tahun yang menghidap strok serta ibu berusia 65 tahun,” katanya.
Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dan menetapkan 5 Ogos ini sebagai tarikh serahan dokumen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




