Muda, cantik, bekas penari balet dan kini bilionair

Muda, cantik, bekas penari balet dan kini bilionair

New York: Seorang bekas penari balet Brazil, Luana Lopes Lara, 29, menyingkirkan penyanyi pop Taylor Swift dan usahawan teknologi kecerdasan buatan (AI), Lucy Guo untuk dinobatkan sebagai bilionair wanita termuda dunia yang membina kekayaan sendiri.

Memetik laporan New York Post, Lopes Lara, pengasas bersama firma pasaran ramalan Kalshi merampas gelaran berkenaan daripada Guo, 31.

Ia selepas platformnya itu mencecah penilaian AS$11 bilion (kira-kira RM45.43 bilion) dan nilai bersihnya melonjak kepada AS$1.3 bilion (kira-kira RM5.37 bilion), lapor Forbes pada Selasa.

Sebelum ini, Guo memegang gelaran bilionair wanita termuda yang membina kekayaan sendiri sejak Jun apabila syarikat kecerdasan buatan (AI) diasaskannya pada usia 21 tahun meletakkan nilai bersihnya pada AS$1.3 bilion (kira-kira RM5.37 bilion). Ia sekali gus mengatasi Swift yang popularitinya daripada jelajah Eras pada 2023 yang menyaksikan penyanyi itu mengatasi kekayaan Kylie Jenner.

Lopes Lara, anak kelahiran Brazil menghadiri Sekolah Teater Bolshoi yang terkenal di negara itu untuk mempelajari balet sebelum berpindah ke Austria bagi mengejar kerjaya sebagai penari balet profesional.

Beliau berada di Eropah selama sembilan bulan sebelum bertukar arah kerjaya dengan melanjutkan pelajaran sains komputer di Institut Teknologi Massachusetts (MIT), tempat dia bertemu rakan pelajar, Tarek Mansour.

Lopes Lara yang pernah bekerja di pembuat pasaran Citadel Securities dan Mansour yang bekerja di dana lindung nilai Citadel, mengasaskan Kalshi bersama-sama pada 2018 yang mana firma mereka berjaya mengumpul AS$1 bilion (kira-kira RM4.13 bilion) untuk mencapai penilaian lebih AS$11 bilion (kira-kira RM45.43 bilion) dalam tempoh enam tahun.

Kedua-duanya menerima latihan industri di Five Rings Capital di New York City pada 2018, di mana mereka muncul dengan idea perniagaan pasaran ramalan pada waktu malam.

Semasa di Manhattan, mereka mendapati banyak keputusan kewangan dipacu oleh ramalan mengenai peristiwa masa depan, namun tiada “cara yang jelas” untuk berdagang secara langsung hasil sesuatu peristiwa, menurut laman web Kalshi.

Pada November 2020, Kalshi menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Dagangan Niaga Hadapan Komoditi dan kemudian disenaraikan dalam Forbes 30 Under 30 pada 2022.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top