Pelakon terkenal, Amyra Rosli, 35, tidak menyangka tindakannya mengangkat beban ringan baru-baru ini mengakibatkan dirinya mengalami sedikit pendarahan.
Menurut pelakon drama bersiri Sekam Di Dada itu, pada mulanya dia menyangka keadaan tersebut mungkin berkaitan kehamilan kerana simptom yang dialami, namun pemeriksaan doktor menunjukkan sebaliknya.
“Kejadian ini berlaku beberapa hari selepas suami saya bertolak dalam misi kayuhan ke Makkah. Pada waktu sekarang, saya tidak mengandung atau hamil.

“Saya sangkakan pada awalnya, keadaannya kelihatan seolah-olah menuju ke arah itu. Saya mengalami sedikit pendarahan. Apabila saya berjumpa doktor, dia memaklumkan pendarahan itu mungkin disebabkan ketidakseimbangan hormon.
“Pendarahan itu memang tidak serius. Doktor sendiri menegaskan ia tidak berkaitan dengan kandungan atau kehamilan yang aktif. Sebenarnya, ia mungkin petanda kepada kehamilan yang tidak menjadi. Doktor tidak dapat memberikan jawapan pasti, tetapi syukur, ia bukan sesuatu yang serius,” katanya.
Amyra berkongsi perkara ini ketika ditemui pada pelancaran koleksi baharu Amber Oasis Abaya di Glasshouse, Seputeh pada Rabu.



Amyra diumumkan sebagai duta bersama dua selebriti lain, Nora Danish dan Amira Othman.
Hos program Nona TV3 itu turut menjelaskan dia tidak menjalani rawatan lanjut kerana simptom tersebut berhenti selepas beberapa hari mengambil ubat.
“Pendarahan itu berlaku selama lebih kurang lima hari sahaja. Ia berlaku selepas saya mengangkat bebanan, tetapi bukanlah bebanan berat, sekadar mendukung anak saya.
“Apa yang membuat saya rasa pelik dan hairan, ia bukan pendarahan haid kerana tempoh haid saya ketika itu belum tiba. Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk berjumpa doktor.
“Pada awalnya, saya menyangka ia permulaan kitaran haid, tetapi pendarahannya tidak seperti biasa. Menurut doktor, situasi ini boleh terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya keletihan melampau atau hormon yang tidak seimbang.

“Namun saya tidak melakukan sebarang rawatan susulan kerana selepas beberapa hari, pendarahan itu berhenti dengan sendiri,” katanya.
Situasi tersebut turut dikongsi bersama suaminya yang juga pelakon, Amar Baharin, namun Amyra memilih untuk tidak memberikan maklumat terperinci bagi mengelakkan suaminya terlalu risau.
“Saya ada berkongsi perkara ini dengan Amar, tetapi tidak secara mendalam. Saya tidak mahu dia terlalu risau, lebih-lebih lagi ketika dia tiada di sisi dan dalam misi berbasikal menuju Tanah Suci,” katanya.




