Nahas pelajar UPSI: Perlu dilihat secara menyeluruh, komprehensif – Zambry

Nahas pelajar UPSI: Perlu dilihat secara menyeluruh, komprehensif – Zambry

razis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Kemalangan yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik semalam perlu dilihat secara menyeluruh.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, aspek itu termasuk pergerakan pelajar, kenderaan dan keadaan jalan.

“Semalam saya ada berbincang dengan Menteri Pengangkutan dan saya kata perkara ini bukan hanya membabitkan pelajar universiti.

“Dalam hal ini, kita perlu lihat balik daripada segi secara keseluruhan termasuk kenderaan, pergerakan pelajar dan ia bukan hanya melibatkan pelajar dan mungkin libatkan orang lain juga, sistem yang ada dalam bas itu sendiri, perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh dan komprehensif,” katanya dalam Sesi Taklimat Menteri Pendidikan Tinggi bersama Ketua-Ketua Pengarang Media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, pihaknya turut menerima banyak pandangan daripada pelbagai pihak dalam mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

“Ada yang mengesyorkan supaya perjalanan bagi pelajar ini dibuat pada waktu siang dan tidak lagi dibuat pada waktu malam, semua aspek kita perlu lihat.

“Saya ucapkan terima kasih atas pandangan yang diberikan, ada satu dua yang nampak semua yang tak baik, tapi yang itu kita biarkan, tapi ramai yang berikan pandangan yang agak baik dan kita akan lihat semua secara keseluruhan,” katanya.

Dalam kejadian tragis sekitar 1.10 pagi itu, bas yang disewa khas pelajar berlepas dari Jertih, Terengganu pada 9 malam Ahad dalam perjalanan ke kampus universiti berkenaan di Tanjung Malim, Perak.

Bagaimanapun apabila tiba di lokasi kejadian, bas terbabit melanggar belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza sebelum hilang kawalan dan terbabas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top