Neraka Wail menanti peniaga makanan tak berkualiti bazar Ramadan – Mufti

Neraka Wail menanti peniaga makanan tak berkualiti bazar Ramadan – Mufti

GEORGE TOWN – Neraka Wail menanti peniaga yang melakukan penipuan termasuk menjual makanan tidak berkualiti serta rosak di bazar Ramadan.

Demikian jelas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor ketika diminta mengulas masih terdapat aduan pengguna berhubung penjualan makanan basi, hangit di bazar Ramadan.

Menurut beliau, ada hadis di dalam Sahih al-Bukhari daripada Abu Hurairah  bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud barang siapa menipu (dalam perniagaan) maka dia bukanlah daripada golongan kami.

“Erti hadis ini adalah seseorang yang menipu ketika menjual atau membeli beli sesuatu barang dengan tidak melahirkan keadaan sebenar barang jualannya kepada pembeli bererti dia telah melakukan satu penipuan.

“Hukum perbuatan begini adalah haram di sisi syariat Islam dan di dalam al-Quran terdapat ancaman dengan Neraka Wail ke atas para peniaga yang menipu timbangan atau sukatan.

“Maka secara analogi penipuan dalam menjual makanan yang tidak berkualiti atau rosak, lebih-lebih lagi kepada pelanggan yang membelinya untuk berbuka puasa,” katanya hari ini.

Wan Salim.

Tambah Wan Salim, pada zaman kini, iman dan akhlak manusia kian terhakis malah ramai juga yang meminggirkan ajaran agama termasuk mereka yang beragama Islam.

“Sepatutnya pada bulan yang mulia ini umat Islam banyak melakukan infaq dan memberi jamuan iftar kepada umat Islam yang berpuasa.

“Tetapi dukacitanya ada peniaga yang tergamak menjual makanan basi di bazar Ramadan dan ini termasuk dalam kategori perbuatan tidak beretika yang sudah pasti hukumnya adalah haram.

“Ia termasuk antara maksud memakan harta manusia secara batil atau salah yang dilarang di dalam al-Quran dan hadis,” katanya.

Justeru beliau menasihati para peniaga supaya takut kepada Allah dalam urusan jual beli.

“Ingatlah keuntungan yang sedikit dan diberkati lebih baik daripada keuntungan banyak tetapi mengundang dosa di samping tiada keberkatan dalam kehidupan,” katanya. – MalaysiaGazette