Nama pelakon jelita, Nora Danish kembali menjadi bualan hangat di media sosial selepas timbul spekulasi kononnya dia sudah menemui pengganti hidup.
Spekulasi itu tercetus apabila Nora berkongsi satu hantaran di Instagram (IG) baru-baru ini yang secara sipi-sipi memaparkan tangkap layar seorang jejaka berkopiah putih berada di Tanah Suci.
Susulan itu, netizen mula membuat andaian serta meneliti ruangan IG individu tersebut yang dikenali sebagai Mickey Ayo, seorang perunding kewangan yang juga duda anak dua.
Apa yang menarik perhatian, salah satu perkongsian Mickey menampilkan foto seorang wanita bertudung memakai hoodie bertulis Realism yang didakwa kepunyaan Nora.
Dalam muat naik sama, turut kelihatan gambar jari seorang wanita yang memegang tasbih, sekali gus menguatkan lagi spekulasi hubungan mereka.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen seakan yakin bahawa wanita yang dimaksudkan itu adalah Nora, meskipun tiada sebarang pengesahan daripada kedua-dua pihak.

Untuk rekod, Nora pernah mendirikan rumah tangga bersama Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 sebelum berpisah pada 19 Jun 2024.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Mohamed Neqayl, kini berusia tujuh tahun.
Sebelum itu, pelakon Puteri Impian ini juga pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau lebih dikenali sebagai Jejai pada 20 Jun 2006.
Namun, rumah tangga tersebut berakhir pada 10 Julai 2008.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal, yang kini berusia 17 tahun.




