sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jurulatih olahraga negara, Mohd Nizam Md Yusof berpuas hati serta memuji barisan atlet yang menunjukkan prestasi yang cukup baik pada Kejohanan Olahraga Terbuka Filipina dan menepati objektif program latihan semasa selepas meraih satu pingat emas dan dua pingat gangsa.
Jelas Nizam, kejohanan antarabangsa seperti itu menjadi platform terbaik untuk menilai keberkesanan latihan yang dijalankan selain mengukur tahap kesiapsiagaan atlet menghadapi saingan lebih mencabar.
“Secara keseluruhan, pencapaian atlet kita amat positif dan menepati objektif fasa latihan semasa. Kita dapat melihat peningkatan dari segi konsistensi catatan masa dan prestasi fizikal.
“Malah, ada atlet yang berjaya menaiki podium menerusi acara pecut dan lompatan. Ini membuktikan program pembangunan dan persediaan yang dirancang berada di landasan yang betul,” katanya kepada Arena Metro.
Untuk makluman, pingat emas hadir menerusi kuartet 4×100 meter (m) wanita sementara pingat gangsa disumbangkan oleh Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira (100m wanita) dan Alia Batrisyia Nasaruddin (lompat jauh) dalam kejohanan yang berlangsung dari 10 hingga 14 Jun.
Selain itu, beliau memuji kejayaan kuartet 4x100m wanita negara yang mencipta sensasi apabila meraih pingat emas walaupun digandingkan buat kali pertama dan lebih membanggakan, kemenangan ke atas pasukan tuan rumah yang dibarisi atlet Olimpik membuktikan potensi besar dimiliki pelari negara.
“Kunci utama kemenangan adalah kelancaran pertukaran baton dan keserasian taktikal yang baik, selain momentum larian individu yang konsisten sepanjang perlumbaan.
“Kejayaan ini pastinya menjadi tonik berharga serta meningkatkan keyakinan mereka untuk terus bersaing dalam kejohanan besar selepas ini. Namun, mereka masih perlu bekerja keras bagi memperbaiki catatan masa supaya mampu bersaing dengan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai persaingan daripada peserta lain, Nizam menyatakan kejohanan itu jauh daripada status pertandingan biasa kerana menghimpunkan hampir 1,000 atlet termasuk peserta dari beberapa negara serantau dan Asia Timur.
“Saingan kali ini sangat kompetitif. Kehadiran atlet dari Korea Selatan, Indonesia, Singapura, Taiwan serta atlet Filipina yang berpangkalan di luar negara meletakkan tanda aras yang tinggi.
“Malah, beberapa rekod kejohanan dan rekod kebangsaan tuan rumah turut berjaya dipecahkan. Tahap persaingan seperti ini amat penting untuk merangsang sistem saraf dan mental atlet supaya mereka tidak terlalu selesa bersaing di peringkat domestik sahaja,” katanya.
Selepas ini, atlet utama negara akan memberi fokus pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium UPM yang akan berlangsung bermula dari 19 hingga 21 Jun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




