Nizar Najib syukur BN menang besar -“Alhamdulilah, doa mereka yang teraniaya dimakbulkan”

Nizar Najib syukur BN menang besar -“Alhamdulilah, doa mereka yang teraniaya dimakbulkan”

Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mohd Nizar Najib menzahirkan kesyukuran susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung semalam.

Mohd Nizar yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang berkata, kemenangan berkenaan disifatkan sebagai jawapan rakyat terhadap budaya politik kebencian dan provokasi sepanjang tempoh kempen.

Beliau turut meluahkan rasa kesal terhadap serangan yang didakwa dilemparkan kepada keluarganya walaupun mereka tidak terlibat secara langsung dalam PRN Johor.

“Sewaktu suhu tempoh berkempen berada di paras tinggi, beberapa provokasi melampau sengaja ditecetuskan oleh pihak lawan.
“Saya amat kesal dengan serangan bertubi-tubi diajukan kepada Ayahanda Najib Razak dan juga adik saya Naziffudin sedangkan Ayah tidak terlibat langsung dalam PRN ini dan tidak mampu sama sekali untuk mempengaruhi keputusannya,” katanya.

Menurutnya, parti politik seharusnya menawarkan dasar, pembangunan serta khidmat kepada rakyat dan bukannya menjadikan fitnah serta hasutan sebagai pendekatan politik.

Mohd Nizar berkata, beliau pernah mendoakan agar BN memperoleh kemenangan meyakinkan ketika berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup sebagai balasan terhadap apa yang disifatkannya sebagai kezaliman politik.

“Bukan politik kebencian. Ternyata senjata provokasi, fitnah dan hasutan telah makan diri Tuan yang mengamalkannya.
“Sewaktu berkempen di DUN Kukup Saya ada berdoa kepada Allah SWT yang Maha Esa di hadapan penyokong BN di Tanjung Piai, agar politik kebencian ini dibalas dengan kemenangan yang sangat meyakinkan, lebih 40 kerusi oleh Barisan Nasional Johor.
“Syukur alhamdulilah doa mereka yang teraniaya dimakbulkan,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Dalam pada itu, Mohd Nizar menegaskan keluarganya akan terus berusaha dan berdoa agar keadilan dapat ditegakkan buat ayahandanya pada masa hadapan.

“Kami menginsafi jalan untuk beliau dapat pembelaan sewajarnya bukan mudah. Kami hanya mampu berdoa dan terus berikhtiar agar kebenaran dan keadilan berpihak kepada Ayahanda suatu hari nanti dengan Izin Allah SWT. Amin Ya Rabb,” tulisnya.

Pada PRN Johor ke-16, BN mencatat kemenangan besar apabila memperoleh 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lapan kerusi.

Sumber: FB Nizar Najib NN11

Scroll to Top