rizar@mediaprima.com.
JOHOR BAHRU: Negeri Sembilan FC (NSFC) gagal mengekalkan kedudukan teratas Liga Perdana apabila terikat 0-0 dengan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dalam saingan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian K Devan jatuh ke tangga kedua dan mengumpul 22 mata manakala Sarawak United berjaya memintas pasukan itu selepas menang 3-2 menewaskan Kelantan United untuk mengumpul 23 mata.
Dalam aksi itu, anak didik Devan lebih dulu mengatur serangan ke kubu tuan rumah namun bola sepakan lintang Bae Beom-geun tepat kepada Fahmi Zainal yang kemudian sekadar melepasi palang.
JDT II terlepas peluang membuka tirai jaringan pada minit ke-21, berpunca daripada sepakan lintang Umar Hakeem Suhar Rezwan yang menyaksikan penjaga gol, Damien Chien gagal menangkap kemas bola.
Bersambung babak kedua, tuan rumah berpeluang mencipta jaringan pada minit ke-48 selepas meraih sepakan penalti apabila Stuart John Wilkin dikasari pertahanan NSFC di dalam kotak penalti namun peluang terhidang disia-siakan kapten Irfan Fazail apabila sepakannya terkena tiang.
Aksi seimbang yang dipamerkan kedua-dua pasukan yang cuba mencari gol namun gagal menemui sentuhan penyudah menyaksikan perlawanan itu berkesudahan seri tanpa jaringan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




