NSFC tagih khidmat Avanzini

NSFC tagih khidmat Avanzini

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Khidmat perancang bahagian tengah Sebastian Avanzini belum dapat dipastikan pada pertembungan Liga Super dengan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, petang esok.

Perkembangan itu disahkan ketua jurulatih, K Nanthakumar, yang memaklumkan pemain import kelahiran Itali berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan pada perlawanan menentang Selangor FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Isnin minggu lalu.

“Avanzini ketika beraksi menentang Selangor minggu lalu, mengalami kecederaan dan susulan itu dia tidak disenaraikan dalam barisan kesebelasan pasukan ketika kita menentang Terengganu FC, Sabtu lalu, untuk pastikan kecederaan dialaminya pulih.

“Dia mungkin memerlukan sedikit masa sebelum berada pada tahap kecergasan terbaik. Kita akan lihat dalam sehari dua ini sama ada Avanzini sudah boleh diturunkan terutama ketika menentang KL City, esok,” kata Nanthakumar.

Nanthakumar bagaimanapun berharap Avanzini dapat diturunkan bagi memastikan jentera tengah skuad Hobin Jang Hobin kekal mantap dalam mendepani cabaran Kuala Lumpur City FC yang sedang berada pada tahap prestasi terbaik.

Ia selepas pasukan warga kota itu dilihat beraksi cemerlang selepas menyekat Johor Darul Ta[zim (JDT) daripada berpesta gol ketika tewas tipis 1-2 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, 13 Disember lalu.

“Khidmat Avanzini memang diperlukan dalam pasukan apa lagi bertemu KL City selain beraksi di tempat lawan, tapi akan bergantung kepada tahap kecergasan beliau sama ada boleh diturunkan atau tidak.

“Apa pun, saya mengharapkan pemain yang bakal diturunkan nanti dapat memperagakan aksi cemerlang dan berjuang dengan semangat yang tinggi dalam usaha mendapatkan keputusan positif,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Ketika ini, Negeri Sembilan masih kekal berada di dasar carta Liga Super dengan mengutip enam mata selepas melalui 14 perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top