Barcelona: Pelumba Australia Ben O’Connor mempamerkan kayuhan solo bertenaga untuk menjuarai peringkat keenam Vuelta a Espana semalam sekali gus merampas jersi merah daripada juara tiga kali Primoz Roglic.
Pelumba Decathlon AG2R La Mondiale itu dan Gijs Leemreize memisahkan diri daripada kumpulan besar sebelum O’Connor memecut meninggalkan pelumba Belanda terbabit ketika saingan berbaki 27 kilometer.
O’Connor melebarkan pendahuluan kepada empat minit 51 saat dalam klasifikasi umum untuk mengatasi pelumba veteran Roglic.
“Saya berasa dalam dunia saya sendiri. Saya rasa hari ini untuk saya memanfaatkan peluang dan berjuang sebaiknya,” kata O’Connor kepada Eurosport.
“Saya dapat rasakan akan menang peringkat ini dari awal. Ia agak istimewa apabila anda berlumba dan menang seperti ini.”
O’Connor muncul pelumba pertama Australia menang saingan peringkat di semua Grand Tour selepas menang di Giro pada 2020 dan Tour de France pada 2021.
“Saya benar-benar nikmatinya hari ini, ia perlumbaan yang cantik keseluruhannya,” tambahnya lagi. “Memakai jersi merah di La Vuelta mungkin pengalaman sekali seumur hidup, jadi saya akan nikmatinya setiap saat.”
© New Straits Times Press (M) Bhd
