am@hmetro.com.my
Langkawi: Seorang Orang Kena Tuduh (OKT) melarikan diri dengan terjun dari tingkat dua bangunan Mahkamah Langkawi di sini, sejurus selesai prosiding pertuduhan, hari ini.
Suspek, Abas Saari, 22, meloloskan diri pada jam 11.35 pagi sebaik sahaja keluar dari bilik mahkamah selepas menghadapi pertuduhan berkaitan kes narkotik.
Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman berkata, ketika kejadian, suspek yang juga warga tempatan itu memakai baju-T berwarna putih dan seluar pendek oren.
“OKT terbabit dipercayai masih berada di sekitar pulau ini.
“Polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini, petang ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat suspek segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di talian 04-9663999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




