TOKYO: Juara bertahan bagi acara bola sepak, Brazil mara ke final apabila menewaskan Mexico 4-1 menerusi sepakan penentuan penalti selepas aksi 120 minit berakhir tanpa jaringan di Kashima, hari ini.
Penjaga gol Brazil, Santos menyelamatkan percubaan Eduardo Aguirre sebelum penalti kedua yang diambil Johan Vasquez terkena tiang.
Dani Alves, Gabriel Martinelli, Bruno Guimaraes dan Reinier menyempurnakan sepakan penalti buat Brazil dan mereka kini akan menunggu sama ada Sepanyol ataupun tuan rumah, Jepun pada final di Yokohama, Sabtu ini.
Mexico yang juga pemenang pingat emas edisi 2012 meledak 14 gol dalam empat aksi peringkat kumpulan – termasuklah enam gol ketika menang ke atas Korea Selatan pada suku akhir.
Peluang terbaik mereka hadir di penghujung babak pertama apabila percubaan Luis Romo dinafikan Santos dan percubaan susulan Uriel Antuna dihalang Diego Carlos.
Penyerang Everton yang juga penjaring terbanyak dengan lima gol, Richarlison hampir meledak gol kemenangan pada penghujung masa sebenar namun tandukannya gagal menemui sasaran.
Jepun yang menewaskan New Zealand menerusi penalti pada suku akhir tampil buat kali ketujuh berturut turut dalam acara bola sepak lelaki pada temasya Sukan Olimpik.
Sepanyol yang memenangi pingat emas pada edisi 1992 di Barcelona memerlukan jaringan minit akhir pada aksi suku akhir untuk mengikat Ivory Coast sebelum menang 5-2 pada masa tambahan. -AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd
