am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: “Kami sendiri tidak tahu siapa yang memasukkan kedua-dua suspek yang cuba curi motosikal bapa ke dalam reban ayam itu,” kata Nur Dini Khairunisa Kamal, 25, susulan kejadian kecurian motosikal milik bapanya yang berlaku Kubang Ulu, di sini, pada Selasa lalu.
Gambar yang memaparkan dua lelaki dikurung dalam reban ayam itu didakwa tular di media sosial hari ini.
Nur Dini Khairunisa bagaimanapun berkata pihaknya sudah membuat laporan dan menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan.
“Kami juga sudah buat laporan di Balai Polis Penanti berhubung kejadian itu dan hanya serah kepada polis bagi tindakan lanjut,
“Kami mohon kepada semua supaya hantaran mengenainya di media sosial dipadamkan kerana mahu menjaga aib pihak sana (suspek)
“Saya tidak tahu siapa yang menularkannya kerana keluarga kami juga tidak menyimpan foto berkenaan,” katanya.
Dalam kejadian itu, Nur Dini berkata, motosikal jenis Yamaha 125z itu disedari hilang kira-kira jam 6.30 pagi.
Namun pihaknya dapat mengesan semula motosikal berkenaan pada jam 11.30 pagi hari yang sama sebelum bertindak mengambil semula kenderaan itu di rumah suspek.
“Kami sendiri tidak tahu bagaimana dan siapa yang menahan kedua-dua suspek ke dalam reban ayam berkenaan malah saya juga tidak berada di tempat kejadian kerana berurusan di balai polis.
“Kami hargai usaha masyarakat di kejiranan yang menahan suspek dengan cara itu tanpa mencederakan kedua-duanya tetapi tidak perlu foto berkenaan disebarkan bagi menjaga aib mereka,” katanya lagi.
Terdahulu, tular dua foto memaparkan dua lelaki berkenaan ditahan kerana didakwa mencuri motosikal dan mereka dimasukkan ke dalam reban ayam sementara menunggu kedatangan polis.
habis
© New Straits Times Press (M) Bhd




